Tradisi Orang Padang Terap Kenduri Durian Makan Atas Kubur Di Masjid

Ayob (kiri) bersama beberapa penduduk Kampung Barokas mengopek durian untuk majlis makan atas kubur di masjid semalam
KUALA NERANG - Setiap kali menjelangnya musim buah-buahan di Padang Terap sudah pasti penduduk di Kampung Barokas, Mukim Belimbing Kanan akan mengadakan majlis kenduri atas kubur yang menjadi tradisi mereka.

Majlis itu sudah bermula 1950-an dan diadakan  dengan pelbagai aktiviti bagi menghimpunkan seluruh penduduk di kawasan itu.

Ahli Jawatankuasa Masjid Kampung Barokas, Ayob Abu Bakar berkata, setiap kali musim buah-buahan penduduk di situ akan mengadakan majlis di atas kubur bagi mengadakan gotong-royong membersihkan tanah perkuburan di kampung itu.

Menurutnya, pada masa itu seluruh penduduk akan berhimpun dan membawa buah-buahan tempatan terutamanya durian untuk dihidangkan kepada tetamu.

“Selepas mengadakan gotong-royong penduduk itu akan menjamu selera di kawasan kubur dan dikenali sebagai kenduri atas kubur, tetapi kini sekarang kami tidak boleh menjamu selera di atas kubur kerana kawasan tanah perkuburan seluas 0.5 hektar itu semakin sempit .

“Kini selepas aktiviti gotong-royong kami akan mengadakan kenduri di masjid itu selepas solat Zohor dan golongan wanita akan bergotong-royong  memasak hidangan untuk majlis kenduri itu,” katanya.

Ayob berkata, pada tahun ini musim buah telah berlaku pada Ramadan menyebabkan majlis terpaksa ditunda hingga Syawal menyebabkan durian yang dikumpulkan tidak banyak.

Jelasnya, Walaupun musim buah hampir tamat dan durian pula semakin kurang, majlis itu tetap diadakan supaya mereka dapat membersihkan tanah perkuburan itu.

“Majlis kenduri atas kubur ini sangat unik kerana walaupun hanya dilakukan setahun sekali malah anak jati kampung ini yang berhijrah di kawasan lain akan turut hadir memeriahkan majlis berkenaan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian