Air dicincang takkan putus.. |
MUAR – Majoriti rakyat di negeri Johor pasti tahu bahawa Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mungkin satu-satunya sultan di Malaysia yang amat gemar dengan menunggang motosikal berkuasa besar.
Secara kebetulan pula, hobi lasak berkenaan yang juga popular disebut dalam dialek Jawa moden sebagai moge atau motor gede turut digemari oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Maka kebetulan pada Selasa, Kembara Mahkota Johor (KMJ) edisi ke-15 tahun ini bertambah menarik apabila ia menjadi saksi pertemuan unik bukan sahaja antara Sultan Johor dengan Menteri Dalam Negeri itu.
Menurut kebanyakan portal berita tempatan, KMJ kali ini mencipta sejarah tersendiri dengan kesudian Sultan Johor mencemar duli bersama-sama dengan Ahmad Zahid menunggang moge secara berkonvoi.
Lebih menarik kedua-dua personaliti itu secara kebetulan bertemu bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang baharu digugurkan jawatan dalam rombakan jemaah Kabinet pada 27 Julai lalu.
Pertemuan spontan itu berjaya menarik perhatian pelbagai pihak sejurus Sultan Ibrahim dan Ahmad Zahid menamatkan perjalanan sejauh 80.9 kilometer dari Kampung Sri Gajah, Chaah ke Padang Awam Lenga, Muar.
Biarpun terletak dalam daerah Muar, Lenga sebenarnya masih lagi termasuk dalam kawasan Parlimen Pagoh iaitu diwakili Muhyiddin sejak melepaskan jawatan Menteri Besar Johor menjelang Pilihan Raya Umum pada 1995.
Tidak perlulah dikenang kisah lama bagaimana almarhum Sultan Iskandar menitahkan perdana menteri waktu itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad menggantikan menteri besar negeri tersebut dengan Datuk Abdul Ghani Othman.
Gambar kemesraan Sultan Ibrahim, Ahmad Zahid dan Muhyiddin yang disaksikan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di tempat penamat KMJ hari ketiga itu benar-benar mengejutkan banyak pihak.
Untuk rekod, ini bukan sebenarnya kali pertama Ahmad Zahid pernah menyertai KMJ yang mula diperkenalkan sendiri oleh Sultan Ibrahim sejak 2001 lalu ketika baginda masih lagi bergelar sebagai Tunku Mahkota Johor.
Terdahulu, Ahmad Zahid menyampaikan sendiri sumbangan daripada Jabatan Perdana Menteri masing-masing sebanyak RM1 juta kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor dan Tabung KMJ kepada Sultan Ibrahim.
Turut berangkat ialah Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah selain Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isterinya Che’ Puan Khaleeda Bustamam serta putera-putera baginda.