Ketua Umno Bahagian Alor Setar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah |
Menurutnya, perasaan yakin dan percaya terhadap kemampuan Presiden Umno itu adalah sama seperti keyakinan yang ditunjukkan oleh anggota parti ketika Umno dipimpin oleh presiden-presiden parti sebelum ini.
Situasi politik dan beberapa isu dihadapi negara ketika ini katanya, memerlukan anggota parti memberi kepercayaan yang tinggi kepada presiden parti, selain memberi ruang dan masa bagi memperbetulkan sesuatu perkara.
"Kita mesti ada keyakinan, kekuatan dan kepercayaan kepada pemimpin kita untuk memimpin, kepercayaan yang kita terima daripada bawah ia bertingkat-tingkat sampailah ke atas," katanya hari ini.
Beliau berkata demikian pada mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Alor Setar yang dirasmikan oleh Najib yang juga merupakan Perdana Menteri di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) hari ini.
Beliau berkata Umno turut mengalami beberapa masalah besar, antaranya apabila parti itu diharamkan dan usaha pemulihan itu mengambil masa yang panjang yang mendapat sokongan padu anggota parti.
Namun menurutnya, anggota parti ketika itu mempunyai perasaan kasih dan sayang yang begitu tinggi kepada pemimpin parti, sehingga Umno bangkit semula dengan keanggotaannya mencecah tiga juta ketika ini.
"Kasih dan sayang kita, anggota parti kepada Umno, pada pemimpin pada masa itu kita boleh lalui segala rintangan di hadapan dengan gandingan semua ahli parti di seluruh negara," katanya.
Ahmad Bashah berkata, beliau kenal hati budi serta 'luar dan dalam' Perdana Menteri dan Umno Kedah tidak boleh menidakkan budi yang beliau curahkan untuk memastikan parti parti dan BN kembali menguasai Kedah.
"Segala bentuk perbelanjaan, semua disalurkan oleh presiden parti, berpuluh juta sepanjang beberapa tahun ini," katanya. - Bernama