UMNO Perlu Ada Jawatankuasa Khas Pantau Isu Laman Sosial - Mahzir Khalid


PADANG TERAP – UMNO perlu mewujudkan jawatankuasa khas bagi memantau dan menjawab isu-isu melibatkan parti yang menjadi viral di laman sosial, kata Ketua UMNO Bahagian Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata jawatankuasa itu perlu memandangkan situasi ketika ini menyaksikan pelbagai maklumat tidak tepat tersebar secara meluas dalam media sosial dan mudah dipercayai segelintir rakyat.

“Bila viral sekarang … tak boleh lambat … (perlu) terus jawab ,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Wanita UMNO Bahagian Padang Terap hari ini oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan mengambil contoh isu harga minyak RON95, RON9 dan diesel yang dikatakan naik sebanyak 20 sen semalam sedangkan harga ketiga-tiga bahan bakar itu bagi Ogos turun 10 sen.

Orang ramai, katanya, perlu menapis dan mendapatkan pengesahan berkenaan setiap maklumat yang diterima bagi memastikan tiada persepsi negatif dibuat terhadap kerajaan.

“Dan kita juga seru kepada mereka yang beri maklumat tidak tepat supaya hentikan perkara itu kerana boleh beri kekeliruan kepada masyarakat dan akhirnya kita rosak kerana keliru,” katanya. – BERNAMA