Video: Memahami Yang Tersirat Di Sebalik "Sehati Sejiwa" Bangsa Malaysia


HARI Kemerdekaan bakal menjengah tidak lama lagi, rakyat Malaysia diingatkan mengenai keindahan dan semangat perpaduan yang ada di negara ini.

Keharmonian itu ditunjukkan oleh seorang guru di sebuah sekolah rendah di Sabah melalui sebuah filem pendek yang buat pertama kalinya diarahkan oleh beliau.

Bertemakan Hari Kebangsaan ‘Sehati Sejiwa’, filem ini mengisahkan bagaimana seorang murid bernama Adam, berpuasa di bulan Ramadan buat pertama kalinya.

Di permulaan video, Adam yang merupakan seorang pelajar di sekolah tersebut telah berjanji kepada rakanya di kelas di mana dia akan berpuasa pada keesokan harinya di bulan Ramadan.

Maka pada keesokkannya, bermulalah dugaan yang perlu dihadapi oleh Adam seperti mana ditempuh kebanyakan umat Islam lain.

Dugaan pertama yang ditempuhnya adalah perjalanan ketika menuju ke sekolah.

Ketika berjalan menuju ke sekolah, dia sempat mengucapkan ‘Selamat Pagi’ kepada seorang pakcik yang merupakan seorang petugas di gereja.

Pakcik tersebut menanyakan soalan kepada Adam: “Hari ini puasa tak Adam?” ujarnya.

Kemudian Adam membalas:”Puasa lah uncle,” balasnya, lalu Adam meneruskan perjalanan sehinggalah dia kepenatan akibat sudah lama berjalan jauh.

Pada ketika itu, Adam yang kepenatan terserempak dengan seorang rakan yang juga ingin menuju ke sekolah.

Kesiankan melihat situasi Adam, rakannya yang bukan Islam itu terus menawarkan dirinya untuk mendukungnya sehingga ke sekolah.

Kemudian sewaktu di dalam kelas pula, asyik terlena saja Adam akibat terlalu letih berpuasa sehinggalah dugaan paling berat muncul kepadanya, iaitu rakan sekelasnya yang tidak berpuasa.

Seperti sedia maklum, penduduk di Sabah terdiri dari berbagai-bagai etnik dan kaum.

Ada yang beragama Islam, Kristian, Asli dan pelbagai lagi. Maka tidak hairanlah ramai rakan yang berada di kelasnya tidak berpuasa.

Dari bangun sahur, keletihan berjalan ke sekolah sehinggalah dugaan terberat sekali iaitu melihat rakan sekelasnya yang bukan beragama Islam menikmati makanan di hadapannya.

Adam seakan hendak berbuka sahaja namun dia masih mampu untuk meneruskan puasa.

Kemudian ketika berada di rumah, ibunya juga memberikan semangat kepada Adam untuk bersabar dan tahan sedikit sahaja lagi sebelum waktu berbuka.

Di waktu petang pula, rakan-rakannya pula mengajak bermain bola walaupun rata-rata mereka tahu Adam berpuasa, tetapi tetap ingin bermain bersama Adam.


Disebabkan leka bermain sehingga hampir kepada waktu berbuka, hujan pula menyingah di mana Adam terus berlari menuju ke rumah untuk berbuka puasa.

Sewaktu hendak pulang ke rumah, dia sempat berteduh di gereja dalam laluan ke sekolahnya akibat kesejukan.

Maka tidak lama kemudian Azan pun mula berkumandang dan ini menandakan sudah tibanya waktu berbuka puasa.

Lalu, pakcik yang berada di gereja terbabit memberikan Adam sedikit makanan untuk berbuka sebelum diakhiri dengan mereka berpelukan.


Inilah yang dikatakan konteks ‘sehati sejiwa’ sepertimana yang digarapkan oleh pengarah yang juga merupakan guru di sekolah berkenaan.

Anda boleh melihat bagaimana rakan-rakannya yang bukan beragama Islam tetap membantu Adam untuk meneruskan ibadah puasa walaupun terpaksa menghadapi dugaan di sekelilingnya.

Bagi kami, walaupun filem pendek ini bermodalkan kecil, tetapi mesej yang disampaikan di dalam filem tersebut amat memberi inspirasi di dalam nilai keharmonian dan perpaduan.

Syabas kami ucapkan kepada tenaga-tenaga pelakon, pelajar dan guru-guru di Sekolah Kebangsaan Tampulan Telipok, Sabah kerana memberikan mesej yang amat bernilai ini. -Kedahnews.com



















Sumber: mynewshub.cc