Gara-gara terlampau takut, seorang lelaki "histeria" di atas sebuah "rollercoaster" telah menamatkan hubungan dengan kekasihnya.
Segalanya terakam di dalam sebuah klip video yang menyaksikan hubungan pasangan kekasih itu tamat dan ia mendapat perhatian netizen di seluruh dunia sekaligus meninggalkan pelbagai reaksi terhadap pasangan tersebut.
Patuh dengan arahan teman wanitanya, lelaki berkenaan pada mulanya dipercayai telah menaiki permainan ‘ngeri’ tersebut walaupun berasa takut.
Dengan sebuah kamera yang sengaja diletakkan di situ bagi merakam detik manis pasangan itu bergembira di atas rollercoaster berkenaan, lelaki tersebut yang dilihat begitu takut menaiki permainan tersebut kedengaran berkata ‘saya tidak mahu lakukan ini’ berulang kali.
Apabila dia berada di puncak landasan permainan itu, dia akhirnya melafazkan kata putus kepada teman wanitanya dan mengakhiri hubungan mereka di situ juga.
Teman wanitanya yang kelihatan sangat seronok dan menikmati permainan tersebut akhirnya terdiam dan tergamam dengan keputusan kekasihnya itu.
Rata-rata netizen mendapati perkara tersebut sangat kelakar menyebabkan video yang dimuat naik di laman Facebook itu ditonton lebih 5 juta kali sejak isnin lalu. -Kedahnews.com