Satu lagi kemalangan maut melibatkan jentera dilaporkan berlaku di China pagi semalam.
Belum reda kes kematian ibu muda akibat dibaham eskalator baru-baru ini serta bayi tersepit eskalator dua hari lepas, seorang wanita berusia 21 tahun pula dilaporkan mati selepas ‘dilenyek’ elevator atau lif di Zhejiang.
Menurut media tempatan, wanita berkenaan sedang menaiki lif di tingkat 16 namun secara tiba-tiba lif bergerak naik ke tingkat 17 menyebabkan mangsa tersangkut dan tersepit di antara dua tingkat.
Pihak bomba melaporkan kepala wanita malang itu tersepit di tingkat 17 manakala badannya masih tergantung di tingkat 16.
Wanita tersebut tidak memberi sebarang respon apabila orang ramai cuba berkomunikasi dengannya dan dia disahkan mati sebaik tiba di hospital.
Dua buah elevator di tempat kejadian kemudiannya ditutup. Pengguna melaporkan elevator di situ sering ditimpa masalah dan adakalanya pintu tidak boleh ditutup ketika berfungsi.
Selepas kejadian itu berlaku, pihak pengurusan tampil mengeluarkan kenyataan bahawa pihak mereka baru sahaja membaiki elevator itu hujung tahun lepas. -Agensi