Wanita Parah Ditetak Suami Dengan Parang Di Pendang

Gambar Hiasan
PENDANG - Seorang wanita cedera parah di tangan kanan akibat ditetak suaminya dengan sebilah parang di Kampung Kubang Pisang, Mukim Rambai di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa Syafinaz Gozali, 27, patah tangan dan putus urat tangan ketika cuba memujuk suaminya yang berkurung dalam bilik sejak dua hari lepas.

Ibu suspek Sharipah Abdul Wahad, 49, berkata, menantunya yang kini tidak tinggal sebumbung dengan suspek, datang ke rumah kira-kira jam 12 tengah hari bertujuan untuk memujuk suaminya keluar dari bilik tidur.

Katanya, ketika kejadian anak sulung daripada empat beradik itu dikatakan mengamuk dengan membakar pakaian dalam bilik tidurnya sebelum keluar ke dapur untuk mengambil parang dan menetak isterinya.

"Mungkin dia tertekan selepas isterinya mengambil anak lelaki berusia setahun sejak dua bulan lepas sehingga bertidak sedemikian," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Fadzil Hashim ketika dihubungi berkata suspek berusia 27 tahun ditahan di rumahnya kira-kira jam 5 petang semalam bagi membantu siasatan.

Katanya, suspek yang mempunyai rekod berkaitan dadah disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Mangsa yang tinggal di Bukit Lada, Pokok Sena kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini. - Bernama