Wanita, Pemilik Restoran Dituduh Bersekedudukan Di Pokok Sena

Wanita terbabit disoal siasat penguatkuasa.
ALOR SETAR - Seorang lelaki anak lima yang juga majikan ditahan kerana disyaki tinggal bersekedudukan bersama seorang pekerja wanita kedai makannya.

Bertindak atas aduan, anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) menyerbu sebuah kedai makan di Pokok Sena, dekat sini, pada Sabtu lalu.

Ketika disoal, lelaki berusia 62 tahun berkenaan memaklumkan wanita berkenaan adalah isterinya, namun siasatan lanjut mendapati mereka berdua tidak memiliki hubungan sah.

Lelaki berkenaan memaklumkan dia akan menghantar wanita berkenaan pulang ke kediaman, selepas selesai operasi perniagaan kedai makan itu.

Penolong Pengarah Penguatkuasa Undang-Undang Jaik, Syeikh Mohd Roshidi Mahmud berkata, mereka menerima maklumat mengatakan lelaki dan wanita berkenaan sudah lama tinggal bersama.

Malah, katanya, wanita berusia 49 berkenaan dipercayai masih dalam edah selepas bercerai dengan bekas suaminya pada bulan Jun baru-baru ini.

Mohd Roshidi berkata, wanita berasal dari Kuala Kedah berkenaan dikatakan tidak memiliki anak bersama bekas suaminya, manakala lelaki berkenaan dari Pokok Sena.

Katanya, mereka memberikan alasan tinggal di bilik di kedai makan berkenaan untuk menunggu wanita berkenaan tamat edah, sebelum berkahwin.

Bagaimanapun, katanya, pihak mereka merasakan tindakan wanita dan lelaki berkenaan untuk duduk bersama adalah satu perbuatan yang salah.

Terdahulu, kedua-dua mereka dibawa ke Balai Polis Pokok Sena untuk laporan tangkapan berkenaan, sebelum dibawa ke pejabat Jaik untuk diambil keterangan.

Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara ataupun kedua-duanya sekali.

Sumber: Sinar Harian