Wanita UMNO Teguh Terus Menyokong Di Sisi Mohd Najib

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
JELEBU – Pergerakan Wanita UMNO akan sentiasa berdiri teguh di sisi Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai tanda sokongan padu terhadap kepimpinan beliau.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, segala tohmahan yang dilemparkan kepada Najib, akan terjawab juga akhirnya nanti.

“Saya percaya selagi semua ahli UMNO memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Najib, percayalah, kemelut, dugaan dan cubaan yang beliau lalui pada hari ini akan terbukti bahawa ia hanyalah dugaan dan cabaran.

“Parti kita menjadi tumpuan serangan semua pihak, kenapa pula kita nak serahkan bulat-bulat Presiden kita kepada mereka.

“Saya mesti membawa kekuatan Wanita untuk menyokong Presiden UMNO terutama pada saat beliau menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Jelebu 2015 di Simpang Pertang, dekat sini hari ini. – BERNAMA