Rahmah dan Izham menunjukkan penyapu yang siap dihasilkan. |
BALING - Kudrat warga emas dari Kampung Bukit Hijau, dekat sini, mencari bunga riung tidak pernah luntur bagi menghasilkan penyapu secara tradisional.
Rahmah Hashim, 63, sanggup memanjat lereng-lereng bukit sekitar Sik dan Baling bagi mencari bunga riung.
Menurut anak tirinya, Izham Abd Hamid, 38, ibunya itu sering ke lereng bukit bersama bapa saudaranya yang turut membantu mengambil bunga riung.
“Kena cepat ambil bunga riung ini, tak boleh terlalu matang sangat nanti penyapu dihasilkan tak elok dan mudah rosak.
“Dalam setahun pokok riung ini berbunga hanya pada Februari hingga Mac, kalau lambat memang tak ada.
“Nak ambil pula bukannya senang, perlukan stamina nak panjat lereng bukit dan masuk semak samun,” katanya.
Izham berkata, bunga riung yang siap dipetik perlu dikeringkan dan diketuk untuk membuang debunga.
“Kena jemur sehingga betul-betul kering kadangkala satu hingga tiga hari dan tak boleh kena air kalau tak ia rosak.
“Kemudian kita kena ketuk pula untuk buang debunga bunga tersebut supaya kita guna nanti tak berhabuk,” katanya.
Tambahnya, pembuat penyapu juga perlu mempunyai kemahiran dan pengalaman untuk menghasilkan penyapu yang tahan lasak dan berkualiti.
“Emak guna 15 hingga 20 tangkai bunga riung untuk menghasilkan satu penyapu tapi prosesnya agak rumit.
"Selepas ikat tangkai-tangkai bunga riung, emak perlu sulam pula dengan bunga lain supaya penyapu menjadi kembang. Ikatan penyapu juga perlu kemas supaya tak mudah tercabut dan rosak bila digunakan nanti,” katanya.
Katanya, ibunya itu hanya mengambil masa 20 minit untuk menyiapkan satu batang penyapu dengan sempurna.
“Sehari kadang-kadang boleh dapat 10 batang ikut permintaan, kalau banyak permintaan lagi banyak boleh disiapkan sebenarnya,” katanya.
Tambahnya, walaupun pembuatan penyapu tradisional ini rumit namun harganya masih berpatutan dan mampu dimiliki orang ramai.
Sumber: Sinar Harian