Gambar Hiasan |
SINGAPURA - Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menahan seorang rakyat Malaysia dan seorang warga Singapura berhubung rampasan rokok elektronik dan beberapa peralatan berkaitan dengannya.
Sembilan set rokok elektronik dan 113 botol aksesori rokok elektronik dijumpai dalam sebuah kereta menggunakan nombor pendaftaran Malaysia di Pusat Pemeriksaan Woodlands awal Ahad lepas.
Sebahagian daripada rokok elektronik itu dijumpai tersembunyi di dalam but manakala selebihnya dijumpai di belakang ruang simpanan kecil, dalam ruang radio dan di bawah kerusi belakang kereta berkenaan.
Suspek berusia 26 dan 34 tahun itu kini membantu siasatan berhubung kegiatan penyeludupan menyeberangi Tambak Johor.
Kenyataan bersama ICA dan Pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA) pada Rabu menyatakan semasa tiba di pusat pemeriksaan itu pada kira-kira 12.30 tengah malam, seorang pegawai mengarahkan kereta itu menjalani pemeriksaan rutin yang membawa kepada penemuan rokok dan barangan itu.
Singapura melarang penggunaan rokok elektronik.
Seksyen 16 Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Jualan) melarang pengimportan, pengedaran, penjualan atau penawaran untuk jualan sebarang benda yang direka menyerupai produk tembakau termasuk 'vaporiser' seperti rokok elektronik, paip elektronik, curut elektronik dan sepertinya.
Orang ramai dilarang membeli atau membawa masuk rokok elektronik ke negara ini.
HSA menggesa mereka yang mempunyai maklumat mengenai penjualan rokok elektronik secara haram supaya menghubungi Cawangan Peraturan Tembakaunya melalui talian telefon: 02-66842036 atau 02-66842037 pada waktu pejabat.
Sumber: mStar