Warga Pakistan Mengaku Bersalah Cuba Beri Rasuah RM100 Elak Disaman

Gambar Hiasan
SHAH ALAM – Seorang lelaki warga Pakistan mengaku bersalah hari ini atas tuduhan memberi suapan RM100 kepada seorang anggota polis supaya tidak mengeluarkan saman terhadapnya kerana melakukan kesalahan jalan raya pada Mei lepas.

Sheroz Khan, 20, membuat pengakuan itu di Mahkamah Sesyen di sini selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Slamat Yahya.

Tertuduh didakwa memberi suapan kepada Lans Koperal Sokongan Rohazan Arif yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan sebagai dorongan untuk tidak mengeluarkan saman selepas dia didapati tidak memiliki lesen memandu dan kenderaan dipandu tiada perlindungan insurans ketika diperiksa.

Sheroz Khan didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Sungai Pinang 4/1 Industri Pulau Indah, Pelabuhan Klang, pada 6.50 petang, 13 Mei lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 17 (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Slamat menetapkan 1 Sept ini untuk fakta dan hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Mohammad Heikal Ismail sementara tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA