Warna, Cop Penyelenggaraan Bukti Mengesahkan Flaperon Dari #MH370


Serpihan sayap pesawat atau flaperon yang ditemui di Pulau Reunion telah dipastikan datang daripada MH370 berdasarkan kesan materi penyelenggaraan (maintenance seal) yang sepadan dengan rekod yang ada pada Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), kata Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai.

Pengesahan flaperon tersebut turut dipersetujui secara sepakat oleh semua pasukan penyiasat negara di Perancis, termasuk anggota dari Jabatan Penerbangan Awam dan MAS.

Tambah Liow lagi, warna flaperon juga disahkan sama seperti MH370 oleh pasukan penyiasat negara namun keputusan rasmi tetap tidak dikeluarkan hinggalah proses pengecaman seperti diminta Perancis selaku negara tempat objek tersebut ditemui, mengesahkannya.

Dari segi lokasi seterusnya bagi mencari bangkai pesawat, Liow berkata Malaysia akan menyerahkannya kepada budi bicara pakar untuk menentukan sebelum keputusan sebulat suara dibuat dalam satu mesyuarat yang diadakan antara Australia, Malaysia dan China.

Beliau berkata, usaha pencarian MH370 kini dilaporkan semakin cerah berikutan penemuan bukti fizikal yang sudah sah daripada pesawat tersebut. -Kedahnews.com