Datuk Seri Wong Soon Koh |
KUCHING - Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP), Datuk Seri Wong Soon Koh dan timbalan presidennya, Datuk Dr Jerip Susil amat yakin parti itu akan diterima masuk dalam Barisan Nasional (BN) apabila sampai masanya.
Menurut Wong, UPP merupakan rakan BN dan selama ini bekerjasama dengan BN, malah beliau mendakwa perjuangan parti itu mendapat sokongan daripada Ketua Menteri Sarawak, yang juga Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.
Malah, Wong yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Negeri, yakin calon dari UPP boleh memenangi kerusi-kerusi yang akan dipertandingankan parti itu termasuk empat kerusi yang disandang oleh Adun yang sekarang ini menyertai parti itu.
Empat kerusi berkenaan ialah Bawang Assan yang disandang oleh Wong, Bengoh (Datuk Dr Jerip Susil), Engkilili (Dr Johnical Rayong Ngipa) dan Ranum Mina (Opar).
Keempat-empat Adun berkenaan memenangi kerusi berkenaan menggunakan lambang BN-SUPP pada pilihan raya lepas, tetapi mereka menyertai UPP berikutan krisis pucuk kepimpinan SUPP.
Diminta mengulas kenyataan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Prof Datuk Dr Sim Kui Hian, yang mengatakan parti itu tidak akan menyerah mana-mana kerusi kepada UPP untuk ditandingi pada pilihan raya negeri akan datang, Wong berkata: "Nasihat saya kepada Dr Sim adalah supaya mengarahkan orang-orangnya turun untuk berjumpa dengan pengundi dan bukannya menuntut kerusi."
Beliau seterusnya berkata UPP mahu meletakkan calon di seberapa banyak kerusi pada pilihan raya negeri akan datang kerana berkeyakinan calon-calon parti itu mampu mencapai kemenangan.
Sementara itu, Dr Jerip, yang juga Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak, berkata selama ini ketua menteri memberi sokongan kepada UPP dengan membenarkan parti itu menggunakan jentera BN dan menganjurkan program BN dan kerajaan.
"Ini dengan sendirinya membuktikan sokongan oleh ketua menteri kepada perjuangan UPP," tambah Dr Jerip. - Bernama