Zeti Nafi Letak Jawatan, Tegas Akan Terus Berkhidmat Hingga April 2016

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz
KUALA LUMPUR – Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz menepis desas-desus yang mendakwa beliau konon akan meletakkan jawatannya dalam tempoh terdekat gara-gara ditekan oleh kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Dalam satu taklimat yang diadakan sebentar tadi di ibu pejabat BNM di ibu negara hari ini, Zeti menegaskan bahawa beliau berhasrat untuk menghabiskan tempoh perkhidmatannya yang dijangka berakhir April 2016.

“Saya akan kekal berkhidmat sehingga tempoh berakhir. Tempoh penggal tersebut selama lima tahun, dan tempoh saya akan berakhir tahun depan,” tegasnya menafikan dakyah pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menimbulkan kebencian terhadap kerajaan itu.

Zeti yang turut menjadi "bahan" pihak tertentu yang cuba memburuk-burukkan kepimpinan Perdana Menteri menjelaskan bahawa beliau akan menulis sebuah buku mengenai pahit manis kariernya sebagai Gabenor Bank Negara selama 16 tahun berkhidmat untuk negara.

“Ketika ini, apa yang boleh saya cakap, saya ingin menulis buku tentang persaraan saya.

“Saya telah menjadi gabenor selama 16 tahun dan melengkapkan tempoh 35 tahun perkhidmatan di Bank Negara dan juga negara.

Lebih menarik, beliau yang diiktiraf sebagai di antara gabenor bank terbaik dunia itu juga menjelaskan bahawa BNM merupakan institusi yang kukuh dan akan terus cemerlang dalam menjamin kejayaan ekonomi negara.

“Saya percaya BNM adalah satu institusi kukuh dan akan terus memacu kejayaan.”

Zeti yang merupakan anak kepada negarawan, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz serta budayawan, Allahyarham Sharifah Azah Aziz berjaya menjadi wanita pertama yang dilantik menduduki jawatan Gabenor BNM.

Beliau yang berasal dari Johor Bahru, Johor dan berusia 67 tahun adalah gabenor ketujuh BNM serta sudah berkhidmat sejak 2000 menggantikan Ali Abul Hassan Sulaiman. -Kedahnews.com