Zizan Razak dalam majlis pelancaran kedai serbaneka 24 jam miliknya di Kelantan yang diberi nama Zizan Mart. |
Walaupun dirinya sering terpalit dengan pelbagai cerita kontroversi, itu tidak menghalang pelawak terkenal, Zizan Razak dalam merencana masa depannya.
Jika sebelum ini Zizan berjinak-jinak dalam dunia perniagaan dengan mengusahakan restoran Burgerbyte, nampaknya pengacara Akademi Fantasia ini mengorak langkah setapak lagi apabila memilih membuka kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam.
Menurut Zizan, kedai serbaneka yang diberi nama Zizan Mart ini merupakan impiannya sejak dahulu.
“Alhamdulillah, ini merupakan salah satu impian saya sejak dulu lagi. Saya berharap selepas cawangan sulung ini akan ada lagi rangkaian seterusnya.
“Ini cita-cita saya selama ini dan ia akhirnya jadi kenyataan. Saya dahulu jenis yang susah tidur, maka saya akan melepak di kedai serbaneka 24 jam. Siapa sangka, tahun ini saya sendiri memiliki kedai serbaneka di bawah syarikat Zizan Group Sdn Bhd.
“Ramai mungkin tertanya-tanya kenapa saya pilih untuk buka cawangan pertama di Kelantan. Saya ada alasan tersendiri atas beberapa sebab. Orang Kelantan sendiri suka berniaga dan Alhamdulillah kehadiran saya di sini amat dialu- alukan,” ujarnya selaku Pengarah Urusan Zizan Group Sdn. Bhd. pada majlis perasmian kedai serbanekanya.
Dalam pada itu, Zizan berharap dapat menambah rangkaian cawangan Zizan Mart di seluruh negara.
Turut hadir pada majlis perasmian tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood.