RIYADH – Seorang lelaki Sudan sanggup menawarkan 100 ekor unta semata-mata untuk melamar seorang pengacara televisyen muda warga Jordan yang diminatinya.
Abu Al Tayeb Othman berkata, dia menyimpan wang untuk membeli beberapa haiwan itu dan menternaknya sejak 10 tahun lalu bagi memenuhi impiannya untuk berkahwin dengan Ula Faris.
Wanita berkenaan dikatakan antara penyiar televisyen paling cantik berkhidmat dengan Middle East Broadcasting Center (MBC), rangkaian stesen televisyen milik Arab Saudi.
Akhbar Arab Saudi, ‘Sada’ melaporkan, Abu Al Tayeb datang ke pejabat harian tempatan itu di Riyadh kelmarin dan meminta mereka untuk menyiarkan cerita lamarannya tersebut.
“Menurutnya, dia kini sudah mempunyai wang secukupnya untuk membeli lebih banyak unta malah dia sudah memiliki 100 ekor haiwan itu.
“Dia akan menyerahkannya kepada Ula Faris sebagai penghantaran perkahwinan jika penyiar itu menerima lamarannya. Dia menanti jawapan Ula,” lapor akhbar itu.
Menurut laporan itu, Abu Al Tayeb telah berhenti bekerja dengan sebuah syarikat pengangkutan di Arab Saudi untuk pulang ke Sudan bagi menternak unta itu.
Akhbar tersebut bagaimanapun tidak menyebut mengenai reaksi Ula yang memulakan kariernya di Jordan ketika baharu sahaja berusia 17 tahun.
Wanita ini pernah bekerja dengan saluran televisyen satelit Al-Arabiya berpusat di Dubai, UAE sebelum menyertai MBC. – Agensi