1,000 Ahli Keluarga Syuhada Palestin Antara Jemaah Haji DiRaja

Raja Salman Abdulaziz al-Saud 
MENUNAIKAN haji di Mekah merupakan satu impian yang amat diidamkan oleh setiap umat Islam, walaupun disedari ia bukannya sesuatu yang mudah dicapai.

Ini berikutan bilangan umat Islam yang ingin mengerjakan haji setiap tahun melebihi daripada kemampuan kerajaan Arab Saudi menguruskannya.

Tetapi bila terpilih menjadi tetamu khas Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz al-Saud bagi menunaikan haji tahun ini, ia merupakan bagaikan satu anugerah yang tidak terhingga.

Apa tidaknya, semua kos perbelanjaan untuk setiap jemaah yang berpeluang mengikuti program tahunan diraja itu ditanggung sepenuhnya oleh Raja Salman sendiri.

Tahun ini, seramai 2,400 tetamu khas Penjaga Dua Masjid Suci itu terpilih, termasuklah 1,000 rakyat Palestin daripada keluarga syuhada.

Selain Palestin, tetamu itu turut membabitkan 34 buah negara lain iaitu Indonesia, Bangladesh, Thailand, Filipina, Kemboja, Kyrgyzstan, Sri Lanka, Nepal, Afghanistan, Vietnam, Malaysia, Myanmar, Bosnia Herzegovina, India, Nigeria, Uganda dan Madagaskar.

Negara lain ialah Comoros, Kenya, Pakistan, Romania, Bulgaria, Poland, Moldova, Jerman, Switzerland, Luxembourg, Cuba, Afrika Selatan, Burundi, Mozambique, Senegal dan Cameroon.

Program yang akan diperluaskan untuk ibadat umrah itu diuruskan oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Wakaf, Seruan dan Bimbingan bersama kementerian lain, termasuk Luar Negeri, Dalam Negeri, Kesihatan, dan Kebudayaan dan Penerangan negara itu.

Antara jemaah haji tetamu DiRaja
Pertubuhan Bulan Sabit Merah Saudi, Saudi Arabian Airlines dan Lembaga Penerbangan Awam juga menyokong program kerajaan itu.

Satu badan penyelia di Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi memberitahu, calon yang memenuhi syarat-syarat itu dipilih oleh kedutaan Arab di seluruh dunia.

Bilangan jemputan ini dipilih berasaskan kepada nisbah umat Islam di negara masing-masing dan kepentingan serta keperluan calon itu untuk menjadi tetamu diraja itu.

Mereka kebanyakannya diambil daripada kalangan umat Islam yang kurang bernasib baik dari segi kewangan.

Menurut Menteri Hal Ehwal Islam, Saleh Al-Sheikh, hampir 24,000 orang telah mendapat manfaat daripada program itu sejak dilancarkan.

“Usaha tersebut melambangkan kesungguhan kepimpinan negara ini untuk berkhidmat kepada umat Islam di seluruh dunia. Ia selaras dengan firman Allah dalam Surah al-Hujurat, ayat 13, bermaksud:
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal,” katanya.
Tambah Saleh, usaha diraja itu memberikan satu mesej jelas tentang peranan dan komitmen mereka kepada agama serta umat Islam di seluruh dunia.

“Ramai pimpinan di dunia Islam yang memuji usaha Raja Salman itu dan berharap program sedemikian akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Sumber: Utusan