117 Motorsikal Disita, 4 Positif Dadah Dicekup Dalam Operasi Di Tol Juru

Gambar Hiasan
BUKIT MERTAJAM – Sebanyak 117 buah motosikal disita polis kerana pelbagai kesalahan lalu lintas dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di Plaza Tol Juru, di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Rusli Mohd Noor berkata pemeriksaan mendapati pemilik 117 buah motosikal yang disita itu melanggar pelbagai kesalahan lalu lintas antaranya tiada cukai jalan, cukai jalan tamat tempoh dan ubah suai kenderaan tidak mengikut spesifikasi.

“Dalam operasi bermula pukul 12 tengah malam hingga 4 pagi itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan selepas dipercayai merempit di sekitar kawasan lebuh raya manakala hampir 500 penunggang diperiksa berhampiran susur keluar tol Juru,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata turut ditahan dalam operasi itu ialah empat lelaki yang didapati positif amphetamine menerusi ujian air kencing dan tiga lelaki bagi membantu siasatan beberapa kes curi motosikal di daerah ini.

Rusli berkata sejumlah 205 saman dikeluarkan dalam operasi itu. – BERNAMA