Gambar Hiasan |
KUALA LUMPUR – 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dalam menyangkal artikel oleh portal Wall Street Journal (WSJ) yang mengaitkan bayaran US$1.4 bilion dibuat oleh syarikat itu, menegaskan penyata kewangan berauditnya secara jelas menunjukkan jumlah dan tujuan pembayaran, yang dikatakan sebagai deposit.
Berdasarkan bayaran itu, 1MDB berkata ia boleh mengesahkan International Petroleum Investment Co (IPIC) telah menyediakan, dan akan terus menyediakan, menjamin prinsipal dan faedah bon 2 x US$1.75 bilion yang diterbitkan oleh 1MDB, dengan keseluruhan prinsipal dan faedah sebanyak kira-kira US$5.5 bilion.
Dalam satu kenyataan Rabu, 1MDB berkata WSJ tidak menamakan sumbernya atau memberi sebarang bukti mengenai dakwaan berkenaan, dengan itu laporan sensasi itu amat diragui.
1MDB turut mengesahkan juruaudit 1MDB, Deloitte melakukan pertanyaan khusus dan terperinci mengenai bayaran itu sebelum menandatangani akaun beraudit 1MDB.
Deloitte mempertahankan metodoliginya dan proses audit 1MDB pada sesi pendengaran Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Dalam perkembangan yang berkaitan, 1MDB melahirkan kebimbangannya terhadap maklumat sulit syarikat yang didakwa diterima oleh WSJ.
“Kami terkejut penerbit bereputasi tinggi seperti WSJ mempergunakan maklumat yang sudah jelas adalah sulit dalam laporannya.
“Kami secara khusus merujuk kepada pengesahan WSJ bahawa ia meneliti ‘transkrip prosiding’ daripada siasatan jawatankuasa parlimen mengenai 1MDB, yang mana satu-satunya kemungkinan sumber adalah pendengaran PAC mengenai 1MDB,” menurut 1MDB.
1MDB menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat perkara itu secara serius dan mengambil tindakan yang perlu bagi menjaga proses integriti dan Perintah Tetap Parlimen Malaysia.
Tindakan oleh WSJ itu adalah sesuatu yang mungkin melanggar undang-undang Malaysia oleh sebuah penerbitan asing yang kononnya dihormati, katanya.
“Kami seterusnya bimbang sesiapa yang terlibat dalam pendengaran PAC mungkin membocorkan transkrip ini, yang mana secara jelas adalah satu cubaan untuk menjejaskan siasatan PAC dan menafikan hak 1MDB sebagaimana proses yang diperuntukkan oleh undang-undang Malaysia,” tambah kenyataan itu. – BERNAMA