Jakarta - Sekurang-kurangnya dua jemaah haji wanita Indonesia terbunuh dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah, kelmarin.
Menurut laporan media Indonesia yang memetik pegawai haji negara itu di tanah suci berkenaan, dua jemaah itu ialah Masnauli Hasibuan dari Medan, Sumatera Utara dan Siti Rasmi Darmini dari Karawang, Jawa Tengah.
Kedua-duanya disahkan terbunuh dalam kejadian yang mengorbankan 107 jemaah dan menyebabkan 238 yang lain cedera.
Dalam pada itu, Ketua Pusat Kesihatan Haji Indonesia di Makkah Dr Fidiansjah berkata, 32 jemaah negara itu adalah antara yang cedera, sebahagiannya parah kerana luka di kepala.
Seorang lagi pegawai Indonesia, Chairul, berkata, jemaah Indonesia yang terkorban mungkin empat orang.
Bagaimanapun, jumlah itu belum dapat disahkan kerana pihak berkuasa Arab Saudi masih berusaha mengenalpasti kerakyatan mangsa.
Fidiansjah berkata, mangsa yang cedera kini dirawat di beberapa hospital dan pusat perubatan yang didirikan kerajaan Indonesia di beberapa kawasan di tanah suci itu.
Kejadian kren tumbang itu berlaku petang kelmarin (waktu Arab Saudi).
Presiden Indonesia Joko Widodo kini berada di Arab Saudi untuk lawatan rasmi. Dia tiba di Lapangan Terbang Raja Abzul Aziz di Jeddah, kelmarin dengan disambut Raja Salman. - Agensi