2 Lelaki Diberkas Kerana Racun, Jual Bangkai Anjing Sebagai Daging

Gambar Hiasan
Beijing - Dua lelaki yang disyaki meracun anjing dan kemudian menjual daging haiwan itu kepada pemilik restoran ditangkap di daerah Songjiang di Shanghai, semalam.

Suspek, Li dan Zhou, membunuh anjing dengan menggunakan damak dan tulang yang disapu dengan racun, lapor akhbar Shanghai Daily.

Menurut polis, kedua-dua lelaki itu memandu di sekitar bandar dan mencampakkan tulang yang disapu dengan sianida kepada anjing liar.

Sebaik menggunggungnya, haiwan itu akan mati dan mereka memungut bangkai itu ke dalam van.

Mereka dipercayai menggunakan cara itu untuk membunuh sekurang-kurangnya lima haiwan berkenaan dari Jun hingga awal Julai, menjual bangkai itu di pasar dan restoran sebagai daging.

Kedua-dua lelaki itu juga menggunakan panah dan damak beracun untuk membunuh sekurang-kurangnya enam anjing pada Julai lalu.

Mereka berdepan dengan tuduhan menjual makanan bertoksik walaupun tidak ada laporan mengenai penduduk di daerah itu sakit selepas memakan daging.

Disember lalu, sekumpulan lelaki ditangkap di wilayah Hebei selepas mengaku membunuh sehingga lapan anjing sehari dengan damak beracun.

Beberapa bulan sebelum itu, 17 lelaki di Zhejiang mengaku bersalah menjual sejumlah besar daging anjing di pasar dan kepada pemilik restoran. - Agensi