33 Hari 7 Anak Orang Asli Hilang Di Tohoi, Apa Kesudahannya?


KOTA BAHARU – Masuk hari ini, genap 33 hari tujuh murid anak Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Gua Musang hilang di dalam hutan selepas didakwa melarikan diri dari asrama kerana takut dikenakan hukuman selepas mandi di sungai tanpa kebenaran.

Tujuh murid terbabit iaitu enam perempuan dan seorang lelaki – Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; Sasa Sobrie, 8; Ika Ayel, 9; Haikal Yaakob, 8; Norieen Yaakob, 10, dan Miksudiar Aluj, 11; – berasal dari Kampung Gawin dan Penad.

Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan penduduk kampung, masih gagal menemui sebarang petunjuk, melainkan stokin dipercayai milik salah seorang murid terbabit pada 1 Sept lepas, selain kesan tapak kaki di kawasan berpasir berdekatan sebatang anak sungai pada 7 Sept lepas.

Pelbagai spekulasi timbul di laman sosial sehingga ada yang mendakwa kanak-kanak berkenaan diculik sindiket pemerdagangan manusia sehingga menyebabkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim tidak menolak untuk menyiasat kemungkinan itu walaupun kejadian berlaku di dalam hutan.

Pos Tohoi merupakan antara kawasan yang paling sukar untuk dimasuki di Kelantan kerana hanya mempunyai jalan pembalakan dan memerlukan masa kira-kira dua jam dari bandar Gua Musang.

Apabila tiba musim tengkujuh, laluan berkenaan langsung tidak boleh digunakan oleh mana-mana kenderaan darat termasuklah pacuan empat roda kerana lumpur yang tebal.

Lantaran itu bagi meneruskan SAR, kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi meneruskan misi mencari kanak-kanak malang itu.

Ratusan anggota daripada pelbagai agensi keselamatan termasuklah penggunaan aset udara serta khidmat anjing pengesan milik ATM dan JBPM dikerahkan ke lokasi kejadian dan radius pencarian turut diperluaskan sehingga 80 kilometer dengan enam sektor pencarian diwujudkan.

Namun sehingga kini, tujuh kanak-kanak itu masih belum ditemui walaupun pelbagai cara telah digunakan oleh pasukan keselamatan dalam melakukan misi mencari dan menyelamat (SAR) itu.

Bagi pasukan penyelamat, keadaan demografi kawasan berkenaan yang berbukit-bukau serta hutan tebal bukanlah satu masalah besar bagi mereka untuk melasanakan operasi SAR, namun kekurangan maklumat tepat adalah penghalang utama dalam misi berkenaan.

Menurut Panglima 8 Briged Infantri Brig Jen Zarondin Md Amin, pelbagai versi berbeza berhubung jejak yang digunakan oleh kanak-kanak itu merupakan antara faktor terbesar kegagalan pasukan penyelamat mencari jejak mangsa.

“Contohnya, bila kita menemubual guru ataupun rakan-rakan mereka, ada pelbagai cerita yang keluar dan kita kena siasat semua, namun akhirnya hanya menemui jalan buntu.

“Bagi pasukan penyelamat, maklumat tepat atau dalam istilah tentera A1 Information (maklumat A1) adalah penting bagi memudahkan pencarian. Sekurang-kurangnya kita tahu di mana kanak-kanak itu dilihat kali terakhir,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Bagaimanapun, beliau berkata moral pasukan sentiasa berada di tahap tertinggi dalam misi berkenaan walaupun Hari Raya Aidiladha bakal disambut esok.

Katanya, seramai 120 anggota 4 Rejimen Sempadan (RS) berpangkalan di Grik, Perak telah mengambil alih tugas 216 anggota daripada 1 RS, Tanah Merah bermula Isnin lepas (21 Sept) bagi memberi rehat kepada pasukan terdahulu.

“Kita diberi tanggungjawab untuk melakukan pencarian di kawasan utara SK Tohoi dengan radius pencarian sehingga 80 kilometer.

“Dalam radius itu, kita bahagikan kepada enam sektor melibatkan tiga sektor di Kampung Gawin dan enam sektor di Kampung Penad,” katanya.

Sementara itu, masyarakat Orang Asli yang dikatakan memiliki kepakaran tertentu ketika berada di belantara kerana hutan ibarat ‘rumah’ mereka, pun masih gagal mengesan murid-murid terbabit.

Ibu bapa kanak-kanak terbabit yang sedih dengan kejadian tersebut tetap menaruh harapan supaya anak-anak mereka berjaya ditemui.

Seorang ibu Medah Angah, 38, dari Kampung Gawin berkata beliau hampir setiap hari menitis air mata mengenangkan nasib dua anaknya Norieen Yaacob, 10, dan Haikal, 8, yang masih belum ditemui.

Beliau bersama penduduk kampung memberi kerjasama kepada pasukan mencari dalam usaha mengesan murid-murid terbabit.

“Kami sudah tidak ada selera untuk makan selagi dua anak kami tidak dijumpai dan tak tahulah nasib mereka sama ada masih hidup atau mati, tetapi berharap ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.

Komander SAR yang juga Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt. Saiful Bahri Abdullah berkata operasi mencari dan menyelamat kesemua tujuh murid terbabit masih diteruskan. – BERNAMA