Mohd Rawi (kanan) bersama Pengarah Jabatan Kerja Raya Kedah, Samsudin Bakar (dua, kanan) melepaskan tuntung ke Sungai Anak Bukit, kelmarin. |
ALOR SETAR - Sebanyak 60 ekor tuntung diraja dilepaskan ke habitat asal melalui Sungai Anak Bukit, di sini, kelmarin, disempurnakan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Temenggong, Tan Sri Tunku Salehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Difahamkan, sejarah tuntung Batagur Baska bermula pada pertengahan kurun ke-17 apabila Sultan Kedah yang berangkat pulang dari lawatan ke Acheh dihadiahkan beberapa ekor tuntung.
Sejak itu, telur tuntung menjadi sebahagian dari sajian santapan diraja di istana.
Exco Pelancongan dan Warisan, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, tuntung dilepaskan ke sungai agar dapat membiak di negeri ini.
“Kita bercadang melepaskan sekurang-kurangnya 150 ekor tuntung ke Sungai Anak Bukit. Tetapi disebabkan keadaan air sungai yang kelihatan laju, maka kita dinasihatkan supaya melepaskan 60 ekor tuntung dahulu.
“Selebihnya akan dilakukan dalam masa terdekat mengikut kesesuaian semasa,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis pelepasan tuntung ke habitat asal sungai di Istana Anak Bukit, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ketua Pegawai Eksekutif Pelancongan Kedah, Datuk Zulkifli Mohamed dan Pengarah Perhilitan Kedah, Mohamad Afid Rohani.
Mohd Rawi berkata, Kedah adalah satu-satunya negeri yang mempunyai pusat penetasan tuntung yang berjaya di Malaysia.
“Memang saban tahun kita melakukan aktiviti pelepasan tuntung ke seluruh sungai di Kedah tetapi kali ini mendapat sokongan Tunku Temenggong Kedah.
“Kebiasaannya aktiviti pelepasan tuntung dilakukan tiga kali setahun melibatkan 50 hingga 100 ekor dalam satu masa,” katanya.
Menurutnya, antara sungai yang terlibat ialah Sungai Kuala Muda, Sungai Kedah dan Sungai Sidam dengan pemantauan jabatan Pengairan dan Saliran dan agensi lain.
Sumber: Sinar Harian