Tony Abbott |
CANBERRA – Tony Abbott tewas dalam perebutan kuasa bagi parti pemerintah, Liberal Australia dan akan digantikan oleh Malcolm Turnbull, yang mengalahkan beliau ketika pemilihan parti pada lewat 14 September.
Turnbull menang 54 daripada 99 undi manakala Abbott hanya meraih 44 undi; sementara Menteri Luar, Julie Bishop yang pro-Turnbull dipilih sebagai Timbalan Ketua parti itu, selepas beliau berjaya mendapat 70 undi.
Dengan kerajaan campuran konservatif semakin tertekan susulan undian pendapat awam, Turnbull berkata pentadbiran Abbott gagal memberikan keyakinan terhadap “kepimpinan ekonomi yang negara kita perlukan”.
Turnbull, 60 tahun; sudah lama dianggap sebagai pencabar utama kepada Abbott, 57 tahun; yang mengambil alih kuasa sebagai Perdana Menteri ke-28 Australia akibat kemelut Parti Buruh yang teruk berpecah-belah pada 2013.
Dengan kemenangan bersejarah yang sudah dijangka ramai penganalisis politik itu, Turnbull bakal mengangkat sumpah sebagai perdana menteri baharu di hadapan Gabenor Jeneral Australia, Sir Peter Cosgrove pada Selasa.
Perdana Menteri Australia yang baru, Malcolm Turnbull |
Abbott pada Isnin menolak spekulasi tentang satu cabaran dan memberitahu wartawan: “Saya tidak mahu dikaitkan khabar angin dan saya sama sekali tidak mahu melibatkan diri dengan percaturan politik sebegini.”
Pemimpin yang dilahirkan di London, Britain itu menepis desas-desus konon beliau mungkin akan mengadakan satu pilihan raya umum ‘kilat’ untuk mengekang satu rampasan kuasa kepimpinan dari dalam partinya sendiri.
Bercakap kepada wartawan di Adelaide, Abbott berkata, beliau menjangkakan kerajaan Liberal akan memerintah sehingga pertengahan tahun depan kerana mereka baharu dipilih untuk melakukan demikian tiga tahun lalu.
Pentadbiran Abbott menjadi lemah akibat satu usul cabaran kepimpinan dikemukakan beberapa ahli Parlimen dalam Parti Liberal beliau sendiri sejak Februari lalu yang diketuai Turnbull selaku Menteri Komunikasi.
Ia berikutan perbalahan selama berminggu-minggu dalam parti. Abbott yang berhijrah ke Australia mengikuti ibu bapanya pada 1960, bakal menerima pencen A$307,542 (RM944,760) setahun. – Agensi