Adenan Satem Sahkan PRN Sarawak Mungkin Awal Tahun Depan

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem
KUALA LUMPUR — Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 mungkin akan diadakan awal tahun depan.

Beliau berkata ia mengambil kira beberapa faktor termasuk tarikh pembentangan bajet persekutuan dan negeri serta musim tengkujuh yang mungkin berlaku pada hujung tahun ini.

“Riwayat Dewan Undangan Negeri (DUN) selesai 20 Jun 2016, dan kita ada masa 60 hari kemudian untuk pilihan raya, sepanjang-panjang adalah Ogos tetapi tidak sebegitu panjang.

“Tengok hujung tahun ini ada bajet iaitu bajet kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, bulan Disember mungkin hujan, mungkin (PRN) awal tahun depan,” katanya dalam program Soal Jawab TV3 yang disiarkan malam tadi.

Kali terakhir negeri itu mengadakan PRN adalah pada 2011 dengan menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan majoriti dua pertiga kerusi.– BERNAMA