Muhammad Afiq Amzar mencium gambar ibu bapanya yang dikirim dari Makkah di telefon bimbit. |
KODIANG - Abang sulung kepada jemaah yang masih gagal dikesan, Shahidan Saad, 52, mendoakan supaya adiknya itu ditemui selamat.
Sobri Saad, 56, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kodiang Lama Luar berkata, mereka sekeluarga sentiasa mengikuti perkembangan berita mengenai kehilangan anak ketiga daripada sembilan beradik itu melalui laman Facebook Tabung Haji (TH).
"Saya dimaklumkan kehilangan Shahidan sekitar jam 10.30 pagi daripada petugas TH yang menelefon ke rumah.
"Berdasarkan maklumat daripada saudara yang turut mengerjakan haji bersama, Shahidan keluar awal bersama rakan sebiliknya, Abdul Habib Lahman yang turut gagal dikesan untuk menunaikan solat Asar di Masjidil Haram,” katanya.
Menurutnya, maklumat itu disampaikan oleh saudara mereka menerusi aplikasi WhatsApp dari Makkah.
“Ketika itu, isteri Shahidan, Maziatunazna Bidin tidak menyertai suaminya dan masih berada dalam bilik penginapan,” katanya.
Sobri berkata, Shahidan yang juga seorang pembantu makmal di Sekolah Menengah Tunku Bendahara dekat sini, kali pertama menjejakkan kaki ke tanah suci selepas lebih enam tahun menunggu tawaran.
“Adik saya tidak menunjukkan perubahan sebelum berangkat ke tanah suci, dia sekadar berat hati untuk meninggalkan anak tunggal, Muhammad Afiq Amzar, 3, kerana anaknya itu masih kecil dan sangat manja dengan isterinya yang juga suri rumah,” katanya.
Menurutnya, Shahidan sempat memintanya menjaga rumah dan anaknya, yang kini dijaga oleh Sobri dan isterinya, Norhayati Ishak, 53.
“Kali terakhir isteri saya berhubungan dengan Maziatunazna pada 8 September lalu menerusi WhatsApp milik rakannya, bertanyakan sama ada barangan yang dikirim sudah tiba. Isteri memaklumkan kotak berisi pakaian dan kurma sudah tiba Khamis lalu,” katanya.
Sobri berkata, difahamkan pasangan suami isteri itu bertolak ke Makkah pada 26 Ogos dari Madinah.
Pasangan suami isteri itu menaiki penerbangan pertama dari Alor Setar pada 17 Ogos lalu dan dijangka pulang ke tanah air pada 2 Oktober depan.
Sementara Muhammad Afiq Amzar ketika ditanya mengenai ibu bapanya, ceria memberitahu ummi dan ayah berada di masjid (Makkah).
Sumber: Sinar Harian