Nur Amani ketika menerima kunjungan orang ramai di rumah keluarganya. |
SUNGAI PETANI - Wang yang terkumpul setakat ini untuk adik Nur Amani Batrisya, kanak-kanak lima tahun mengidap sindrom Rett di Amanjaya di sini, baru mencecah RM8,000.
Bagaimanapun, dia masih memerlukan wang sebanyak RM24,000 untuk mendapatkan sebuah alat pernafasan dikenali mesin BiPAP yang dikatakan mencecah harga RM32,000.
Alatan tersebut perlu digunakan kanak-kanak itu semasa mahu tidur mahupun ketika berdepan gangguan pernafasan.
Ibunya, Noor Almi Sufiza Ishak, 35, berkata, sejak lapan bulan lalu, alatan tersebut dipinjamkan dari Hospital Pulau Pinang dengan kebenaran pihak hospital.
“Mesin ini diperlukan setiap hari untuk Nur Amani bernafas ketika berada di wad sepanjang menerima rawatan. Apabila dia dibenarkan pulang, kami masih belum mampu mendapatkan mesin ini menyebabkan pihak hospital membenarkan ia dipinjamkan,” katanya.
Sinar Harian pernah menyiarkan rayuan keluarga Nur Amani 22 Ogos lalu bagi mendapatkan bantuan orang ramai untuk mencukupkan dana supaya sebuah mesin BiPAP dapat dibeli sebelum memulangkan alatan milik hospital terbabit.
Disebabkan sindrom berkenaan, Nur Amani berdepan masalah gangguan perkembangan otak, tidak mampu bercakap, sering melakukan pergerakan tangan berulang-ulang selain masalah tulang belakang.
Katanya, pendapatan suaminya, Muhadzir Ahmad, 38, yang bekerja di sebuah pusat servis kenderaan di Kulim masih belum cukup untuk menampung kos yang diperlukan biarpun terpaksa bekerja sambilan semasa cuti.
Selain Nur Amani, mereka masih menyara dua lagi anak berusia tujuh dan tiga tahun.
“Perbelanjaan sebulan untuk minuman Nur Amani sahaja hampir mencecah RM500 kerana bergantung sepenuhnya kepada susu khas mengandungi zat mencukupi yang diberi melalui saluran tiub khas yang dipasang di bahagian perutnya,” katanya.
Menurutnya, bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak cukup untuk menampung perbelanjaan anaknya memandangkan dia juga memerlukan lampin pakai buang sepanjang masa.
Orang ramai yang ingin menderma boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0200641000011264 atau CIMB (02031339 017527).
Sumber: Sinar Harian