Dari kiri: Azmi, Ahmad Bashah dan Ernest ketika gimik pelancaran Program Citarasa Malaysia. |
ALOR SETAR - Aduan berkaitan GST di Pusat Pengurusan Aduan Pengguna semakin menurun berbanding April, ketika cukai itu dikuatkuasakan 1 April lalu.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Azmi Lateh berkata, ini menunjukkan rakyat dan pihak yang terlibat secara langsung dengan GST semakin memahami pelaksanaan GST.
“Ada penurunan dalam jumlah aduan berhubung GST. Ketika mula dikuatkuasakan April lalu, kita rekodkan sehingga 4,000 aduan sebulan, namun pada Ogos sekitar 200 aduan,” katanya ketika hadir perasmian Program Citarasa Malaysia yang dirasmikan Timbalan Menteri KPDNKK, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, semalam.
Hadir sama, Pengarah Operasi GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Ernest Potgieter.
Menurutnya, setakat 31 Ogos, pihaknya menerima sebanyak 21,219 aduan dengan purata 2,652 aduan sebulan.
“Rekod paling tinggi adalah April, sebanyak 9,281 aduan iaitu 44 peratus daripada jumlah keseluruhan aduan,” katanya.
Antara kemudahan yang disediakan KPDNKK untuk memudahkan rakyat membuat aduan termasuk melalui aplikasi telefon pintar EZ Complaint, yang membolehkan pengguna menyalurkan aduan bergambar sebagai bukti salah laku peniaga ke sistem e-aduan.