Datuk Ramli MS |
PENGARAH muzik dan pengkritik tetap Akademi Fantasia (AF) 2015, Datuk Ramli MS mencadangkan kerusi juri tetap yang ditinggalkan Rozita Che Wan atau Che Ta tidak perlu digantikan oleh mana-mana pihak.
Ini kerana menurutnya bagi menghormati keputusan yang telah dibuat oleh aktres berusia 42 tahun itu.
“Saya bimbang jika digantikan dengan sesiapa, secara tidak langsung akan timbul persepsi umum yang mempertikaikan kewibawaan Che Ta sebagai pengkritik tetap sebelum ini.
“Ia seolah-olah seperti Che Ta tidak layak (jadi pengkritik) sehingga jadi isu begitu dan terpaksa digantikan pula dengan orang lain.
“Sedangkan dia dilantik atas kapasiti pengkritik umum yang mewakili suara dan pandangan orang awam. Cuma kebetulan Che Ta terkenal kerana dia seorang selebriti,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Sementara itu, Ramli turut tidak menyalahkan Che Ta di atas segala kontroversi yang berlaku sebaliknya memahami tugas yang perlu dipikul aktres itu sepanjang AF 2015 bersiaran.
“Saya lihat Che Ta tidak bersalah dalam perkara ini,” katanya pula, yang dipetik portal tempatan mStar.
Sebaliknya, Ramli merasakan pengetua AF 2015, Edry Abdul Halim sendiri dan tenaga pengajar yang lain bersifat prejudis dengan pihak pengkritik.
“Mereka tidak faham tugas Che Ta sehinggalah saya perlu menjelaskan semula kepada tenaga pengajar dan barulah mereka faham,” ujarnya lagi.
Che Ta mengambil keputusan menarik diri daripada AF 2015 selepas dirinya diherdik Edry secara live sebaik selesai persembahan pelajar bernama Sufi yang disifatkannya sebagai tidak cukup rock ketika menjayakan konsert bertemakan rock, minggu lalu. -Kedahnews.com