Ahmed Tiba-Tiba Viral Di Seluruh Dunia Kerana Jam Buatan Sendiri, Bukan Bom!

Ahmed Mohamed
Austin, Texas - Ahmed Mohamed, 14, yang ditahan dan digari polis hanya kerana membawa jam buatan sendiri untuk kelas kejuruteraan sekolahnya, Sekolah Tinggi MacArthur di Texas Utara, kini menjadi perhatian dunia malah mendapat jemputan Presiden Amerika Syarikat, Barak Obama, ke Rumah Putih serta mendapat pujian daripada Ketua Pegawai Eksekutif Facebook Mark Zuckerberg.

"Jam hebat Ahmed. Mahu bawa ia ke Rumah Putih?

"Kita perlu galakkan lebih ramai kanak-kanak seperti anda untuk menyukai sains. Itu yang menjadikan Amerika hebat.” kata Obama Melalui Twitter.

Menurut jurucakap Rumah Putih, Josh Earnest, Ahmad dijemput menyertai malam astronomi bersama angkasawan NASA bulan depan.

Zuckerberg pula melalui Facebook berkata: “Memiliki kemahiran dan cita-cita membina sesuatu yang hebat sepatutnya membawa kepada sanjungan.

“Ahmad, jika anda mahu datang ke Facebook, saya mengalu-alukan anda. Teruskan mencipta.”

Jam ciptaan Ahmed yang disangka bom
Jurutera perancang sains untuk kapal angkasa NASA, Bobak Ferdowsi, melalui Twitter menulis: “Hei Ahmad, hubungi saya dalam masa dua tahun. Kami sentiasa perlukan mereka yang bijak, ingin tahu dan kreatif.”

Guru sekolahnya menyangka jam dibuatnya untuk kelas kejuruteraan itu ialah bom, menghubungi polis yang kemudian datang ke sekolah, menahan serta menggarinya dan membawanya ke balai.

Majlis Perhubungan Amerika-Islam menegaskan kes itu menjadi contoh terbaik diskriminasi terhadap umat Islam di Amerika.

Penahanannya itu membawa kepada kempen di media sosial dinamakan #IStandWithAhmed yang menjadi topik paling popular Twitter di Amerika dengan hampir sejuta tweet semalam, ramai mengkritik sekolah berkenaan serta polis.

“Saya membuat jam itu untuk menunjukkan kebolehan saya namun apabila ditunjukkan kepadanya, guru wanita itu menyangka ia adalah ancaman. Sedih kerana dia salah sangka dan saya kemudian ditahan,” kata Ahmad.

Pihak pengurusan sekolah itu mempertahankan tindakan guru berkenaan.

“Demi langkah berjaga-jaga, kami perlu mengambil tindakan seperti itu,” kata jurucakapnya, Lesley Weaver.

Ahmad turut dapat perhatian dari Presiden US, Barrack Obama
Ahmad yang digari, dibawa ke balai polis dan diambil cap jarinya serta dirakam gambar seperti kebiasaan apabila penjenayah ditahan. Dia dibebaskan selepas ibu bapanya datang.

Jurucakap polis di Irving, James McLellan, berkata peralatan yang dibuat Ahmad itu yang mengandungi papan litar berada dalam kotak, boleh menyebabkan ia disangka bom dan menegaskan penahanannya tiada kaitan dengan agama dianutinya. - Reuters