Ahmad Bashah (dua, kanan) ketika melancarkan Shopper Saver Tesco Mergong, kelmarin. |
ALOR SETAR - Peniaga diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang sewenangnya menjelang Aidiladha meskipun Skim Kawalan Harga Musim Perayaan tidak dikuatkuasakan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pemantauan berterusan dijalankan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan sedia ada.
“Kementerian sudah arahkan penguatkuasa di negeri-negeri turun padang memeriksa harga barangan dan notis kesalahan akan dikeluarkan jika mereka didapati sengaja mengambil kesempatan menaikkan harga barangan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program etika jualan dan kepenggunaan di pasar raya serta majlis pelancaran buku panduan promosi pengguna Shopper Saver, di Tesco Mergong, kelmarin.
Menurutnya, saman akan diberikan kepada peniaga yang ingkar dan sengaja menaikkan harga barangan tanpa alasan kukuh.
“Kita juga minta pengguna membuat aduan jika terdapat peniaga mengenakan harga tidak munasabah. Kementerian komited dalam perkara ini kerana tidak mahu pengguna ditindas terutama pada musim perayaan,” katanya.
Ahmad Bashah turut memberi jaminan bekalan barang keperluan terutama bekalan daging dan ayam menjelang perayaan mencukupi selain harga tidak meningkat.
“Bekalan daging dan ayam mencukupi. Harganya pula tidak meningkat mendadak dan dijual pada harga biasa. Pemantauan mendapati harga ayam yang ditawarkan antara RM7-RM9 (seekor bergantung pada saiz),” katanya.
Sumber: Sinar Harian