#Aidiladha: Najib Terima Sumbangan 534 Lembu Korban Untuk Parlimen Pekan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerima 128 ekor lembu korban daripada Sapura Holdings Sdn Bhd yang diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan syarikat itu Datuk Mohd Zarif Hashim pada majlis akad penyerahan lembu korban bagi Perlimen Pekan di Bangunan Perdana Putra, Khamis. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima sumbangan sebanyak 534 lembu korban daripada 15 buah syarikat untuk sambutan Hari Raya Aidiladha di Parlimen Pekan.

Sumbangan tersebut disampaikan dalam satu majlis akad penyerahan oleh wakil syarikat terbabit di bangunan Perdana Putra, di sini pada Khamis.

Antara syarikat itu ialah Sapura Holdings Sdn. Bhd. yang menyumbang 128 ekor lembu, NAZA Group (75), DRB-HICOM Berhad (50), WZR Property Sdn. Bhd. (30), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (30) dan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (28).

Turut terlibat ialah Roadcare (M) Sdn. Bhd. yang menyumbang 28 ekor lembu, HeiTech Padu Berhad dan Nukima Sdn Bhd (20), GBP Corporation Sdn. Bhd. (20), AJ Aeroservices Sdn. Bhd. (20) dan Kini Unggul Sdn. Bhd. (15).

Lembu berkenaan akan disumbangkan kepada pihak pengurusan masjid, surau, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang melaksanakan ibadah korban di seluruh Parlimen Pekan.

Umat Islam di negara ini akan menyambut Aidiladha pada 24 September. – BERNAMA