Shanghai - Sebuah syarikat membuat ais krim di sini meraikan ulang tahun ke-70 berakhirnya Perang Dunia Kedua dengan mengeluarkan aiskrim khas dengan gambar Perdana Menteri Jepun ketika peperangan itu, Jeneral Hideki Tojo.
Syarikat Iceason berkata, ia menghasilkan 10,000 aiskrim berbentuk kepala manusia itu sebagai cara memperingati perang China menentang Jepun.
Bagaimanapun, harga aiskrim itu tidaklah murah. Ia dijual dengan harga 30 yuan (RM20) setiap satu.
Tojo ialah Perdana Menteri Jepun antara 1941 dan 1944. Dia kemudian didapati bersalah atas tuduhan jenayah perang dan dihukum gantung pada Disember 1948.
Walaupun beberapa pengguna media sosial China menganggap aiskrim itu menggelikan hati, ramai juga yang menyelar tindakan syarikat berkenaan.
Seorang pengguna menulis di laman Sina Weibo: “Taktik mencari keuntungan yang menyakitkan hati.”
Seorang lagi menulis: “Idea tahap paling rendah. Tidakkah anda terfikir meletakkan kepala orang yang kejam dalam mulut anda akan membuat anda rasa sakit?”
Ada yang berkata, iklan ais krim itu boleh mengelirukan orang ramai kerana ia menyerupai Mahathma Gandhi.
Sambutan ulang tahun ke-70 bagi menandakan berakhirnya Perang Dunia Kedua akan diadakan secara besar-besaran dengan perbarisan tentera di Beijing hari ini. -Agensi