Ritvik Ankush Tarte |
New Delhi - Seorang budak lelaki nyata panjang umur apabila terselamat walaupun kepalanya ditusuk anak panah dalam kemalangan ketika menghadiri latihan di kelab memanah.
Ritvik Ankush Tarte, 11, tersilap melangkah ke zon larangan ketika latihan memanah mingguannya menyebabkan kepalanya dipanah.
Anak panah itu menembusi tengkorak Ritvik di sebelah kanan kepalanya manakala hujungnya terkeluar di kirinya.
Guru bertugas bergegas membawanya ke Hospital dan Pusat Kajian Manik di Ahmednagar sebelum pasukan doktor diketuai Dr Jeevan Rajput melakukan pembedahan selama tiga jam untuk membuang anak panah itu.
“Kami mendapat izin daripada gurunya untuk melakukan pembedahan kecemasan itu selepas imbasan CT pada otaknya menunjukkan lokasi anak panah yang membolehkan kami membuat bukaan pada kedua-dua belah tengkoraknya itu.
“Dia amat bernasib baik, anak panah itu nyaris terkena pada bahagian penting otak,” kata Dr Jeevan.
Katanya, Ritvik semakin sembuh dan berkemungkinan besar tiada masalah saraf, ingatan atau personaliti akibat kejadian itu.
Bapa Ritvik, Ankush Babban Tarte, 40, dan ibu, shwini, 35, berkata, mereka segera ke hospital sebaik mengetahui kejadian.
“Ritvik amat meminati sukan ini. Kami tidak pernah menjangka kejadian seumpama ini berlaku. Harapnya tiada komplikasi lain,” kata Ankush.
Kejadian itu juga tidak mematahkan cintanya terhadap sukan itu, malah bercadang kembali ke kelab memanahnya bulan depan. - Agensi