Akta MAS Bakal Lindungi Hak Kakitangan MAS - Ahli Akademik


KUALA LUMPUR – Akta Malaysian Airline System Berhad (MAS) yang diluluskan Parlimen dan membuka jalan untuk penstrukturan semula syarikat penerbangan berkenaan, melindungi hak kakitangan secukupnya dan membolehkan penubuhan kesatuan sekerja, kata seorang pensyarah hari ini.

Bagaimanapun Dr Ruzita Azmi dari Universiti Utara Malaysia kampus Kuala Lumpur mengingatkan kakitangan syarikat penerbangan itu untuk memahami yang berdasarkan undang-undang berkenaan, Malaysia Airline Bhd (MAB), syarikat baharu yang mengambil alih daripada MAS lama berkuatkuasa hari ini, bukanlah pengganti MAS lama.

Mengulas dakwaan kesatuan pekerja yang hak kakitangan syarikat penerbangan itu diketepikan, termasuk mendapat gaji lebih rendah serta faedah yang kurang dan hak bekas pekerja yang tidak diambil semula berikutan penstrukturan semula itu, beliau berkata: Apabila bercakap mengenai faedah dan hak kakitangan, sebenarnya kita perlu pergi kepada perkara asas. Kita perlu pergi kepada asas Undang-Undang Pekerjaan, di mana majikan adalah mereka yang menawarkan kerja dan pekerja adalah mereka yang menerima pekerjaan itu.

“Jika mereka menerima terma dan syarat baharu yang ditetapkan pengurusan baharu, ini bermakna mereka gembira dengan semua terma dan syarat dan juga faedah terbabit. Kontrak pekerjaan ini tertakluk di bawah Undang-Undang Kontrak; perlu ada terma tawaran dan penerimaan. Kontrak ini boleh dikuatkuasakan oleh undang-undang,” katanya.

Dr Ruzita menjelaskan apa sahaja yang dinikmati kakitangan di bawah pengurusan lama adalah sejarah dan pengurusan baharu tidak boleh diharap untuk melaksanakan faedah yang sama atau terma dan syarat yang sama.

Secara ringkasnya, beliau berkata: Apabila anda menjadi pekerja, anda dikawal oleh kontrak perkhidmatan. Oleh itu apa yang mengawal hubungan di antara majikan dan pekerja adalah kontrak yang ditandatangani mereka. Oleh itu jika anda tidak bersetuju, anda tidak akan menerima tawaran berkenaan.”

Pada masa sama, semua faedah diterangkan secara jelas dalam kontrak pekerjaan dan apabila mereka bersetuju menandatanganinya, itu bermakna mereka bersetuju dengan semua faedah dalam kontrak itu.

Dalam usaha memulihkan syarikat penerbangan nasional yang bermasalah itu, Malaysia Airlines pada 1 Jun lepas telah mengeluarkan surat pemberhentian kepada 20,000 kakitangannya. Daripada jumlah itu, seramai 6,000 ditamatkan kontrak mereka manakala 14,000 ditawarkan pekerjaan oleh syarikat baharu berkenaan.

Pada akhir Jun, ia menerima 98 peratus respons ke atas surat tawaran yang dihantar kepada 14,000 pekerja, menjemput mereka menyertai syarikat baharu itu mulai 1 September. Hanya satu peratus daripada tawaran itu ditolak.

Beliau turut bersetuju yang dengan 98 peratus kadar penerimaan, isu pakej yang tidak adil tidak sepatutnya timbul.

“Ya, ia tidak sepatutnya menjadi isu. Apabila anda menerima Surat Pelantikan, anda telah bersetuju dengan terma dan syarat-syarat itu. Dan terma dan syarat itu juga mengandungi faedah yang akan anda nikmati setelah menjadi pekerja organisasi berkenaan.

“Oleh kerana 98 peratus telah bersetuju, ini menunjukkan semua terma dan syarat di bawah entiti baru itu boleh diterima mereka.”

Dr Ruzita juga diminta mengulas mengenai dakwaan Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airlines System (MASEU) bahawa perjanjian bersama (CA) sebelum ini masih wujud kerana belum ada perjanjian baharu ditandatangani dan sama ada CA lama boleh dipindahkan kepada syarikat baharu.

“Akta MAS itu membenarkan penubuhan kesatuan sekerja. Sebagaimna dalam penubuhan sesebuah kesatuan sekerja, ia tertakluk kepada prosedur yang perlu dipatuhi. CA lama tidak boleh dibawa ke depan ke dalam syarikat baharu dan jika pekerja mahu menubuhkan kesatuan sekerja, semangat CA ialah wakil majikan serta wakil pekerja perlu berbincang dan bersetuju mengenai pelbagai isu yang boleh membawa kepada hubungan perusahaan yang baik,” katanya.

Dr Ruzita menasihatkan pekerja membenarkan Malaysia Airline Bhd yang mula beroperasi secara rasmi hari ini untuk berjaya terlebih dulu di segi perniagaan, dan kemudiannya apabila syarikat penerbangan itu mencatat kejayaan mantap di segi kewangan dan operasi, mereka boleh memikirkan untuk menubuhkan sebuah kesatuan sekerja.

Mengenai perjanjian bersama, beliau berkata, dalam mana-mana perjanjian seumpama itu, ia adalah satu kompromi atau tolak-ansur di antara majikan dan pekerja, dengan menambah, ia bukan perkara yang menguntungkan satu pihak sahaja di mana kesatuan sekerja atau kakitangan dapat apa yang mereka mahu berdasarkan CA lama manakala majikan tidak memperoleh apa yang dikehendaki mereka.

“Kita juga tidak boleh mengelak daripada pemberhentian pekerja dalam proses penyusunan semula korporat, ia adalah sesuatu yang perlu dilakukan syarikat untuk hidup,” katanya.

Ketika diminta menjustifikasikan keperluan Akta MAS itu, pensyarah undang-undang itu berkata, ia perlu dalam kes ini untuk menyelamatkan entiti yang mempunyai banyak masalah kewangan, banyak isu legasi daripada perjanjian berat sebelah, terlalu banyak pembekal dengan perjanjian kontrak serta pelbagai proses kerja mengikut peraturan yang terbatas.

“Walaupun banyak cara untuk melakukannya, satu cara yang penting ialah dengan bantuan akta baharu ini yang memberi kekebalan daripada tindakan dan prosiding undang-undang. Itu adalah penting.”

Akta MAS itu telah memberikan MAS baharu itu satu bentuk kekebalan daripada tindakan undang-undang diambil terhadap pentadbir dan pihak relevan lain dan dengan itu membolehkan syarikat baharu itu memberi tumpuan kepada perniagaan bagi menjana keuntungan, tambahnya. – BERNAMA