Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan |
ALOR SETAR – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyarankan sesiapa yang mempunyai petunjuk baharu dalam kes pembunuhan berprofil tinggi melibatkan wanita Mongolia, Altantuya Sharibuu, agar tampil membuat laporan polis.
Menurut beliau, perkara itu adalah lebih baik daripada mengada-adakan cerita yang tidak betul mengenai kes terbabit.
“Saya tak menyokong sesiapa, saya tak menyokong kerajaan, saya tak menyokong pembangkang.
“Saya nak orang awam mengetahui fakta-fakta sebenar, bukan dicampur aduk dengan fitnah, cerita-cerita yang tidak ada asas,” katanya mengulas mengenai dokumentari pembunuhan Altantuya yang disiarkan di saluran berita antarabangsa Al-Jazeera, baru-baru ini.
Musa turut mengakui sudah menonton dokumentari berdurasi 26 minit itu namun menyifatkan laporan itu telah ditokok tambah oleh pihak produksi siri 101 East.
“Saya dah tengok (dokumentari pembunuhan Altantuya). Pada mulanya betul, tapi akhirnya dia cerita lain pula. Itu tokok tambah saya rasakan,” katanya yang dipetik dari sebuah portal, semalam.
Enggan orang awam dikelirukan dengan cerita-cerita yang tidak dapat dipastikan kesahihannya, Musa menggesa individu yang mempunyai maklumat baharu tampil ke hadapan agar kertas siasatan mengenai kes ini dapat dibuka semula untuk penyiasatan lanjut.
“Kalau ada petunjuk-petunjuk baru dalam kes ini, siapa-siapa yang ada keterangan, ada maklumat tentang petunjuk orang yang terlibat dengan jenayah ini, sila laporkan pada polis.
“Polis akan buka balik siasatan, tiada masalah (untuk buka semula) jika ada petunjuk baru.
“Tapi janganlah kita kelirukan orang ini terlibat, orang tu terlibat (tapi) akhirnya tiada apa-apa,” kata beliau lagi.
Dokumentari itu memaparkan wartawan Al-Jazeera, Mary Ann Jolley melakukan laporan bercorak penyiasatan yang mana memperlihatkan kronologi pembunuhan Altantuya serta dua tertuduh dalam kes itu, bekas anggota polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar. -Kedahnews.com