Alhamdulillah, Saya Bersama Jemaah Lain Selamat – Nabil Ahmad


BARU-BARU ini, seantero dunia dikejutkan dengan tragedi rempuhan di Mina yang telah mengorbankan seramai 717 jemaah haji manakala, 860 cedera.

Berita ini sedikit sebanyak menimbulkan perasaan risau dan gusar mengenai keselamatan jemaah haji Malaysia di sana susulan malapetaka malang itu.

Pengacara dan pelawak, Nabil Ahmad yang kini sedang berada di Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji memaklumkan dia dan jemaah Malaysia lain berada dalam keadaan selamat.

“Saya menerima mesej bertubi-tubi dari keluarga dan kenalan terdekat yang menanyakan mengenai keadaan saya di sini.

“Alhamdulillah, saya bersama kumpulan jemaah lain berada dalam keadaan selamat. Malah, kami turut diberikan taklimat ringkas bagi memastikan insiden sama tidak berulang.

“Kami akan keluar melontar jamrah di Mina selepas waktu Isya’ waktu di sini. Saya terkejut apabila dimaklumkan perkara terbabit.

“Bagaimanapun, tidak ada apa perlu ditakutkan kerana ajal dan maut adalah kuasa Allah SWT,” jelasnya ketika dihubungi Harian Metro, kelmarin.


Pada masa yang sama, pengacara Meletop ini turut memohon kepada orang ramai agar mendoakannya dan jemaah lain diberi kekuatan untuk menyempurnakan ibadah haji ini.

Nabil bertolak ke Makkah pada 19 September lalu dan dijangka pulang ke tanah air 1 Oktober ini. -Kedahnews.com