Amanah Belum Pasti Pendirian Tentang Hukum Hudud - Mat Sabu

Pengerusi Penaja Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu
PETALING JAYA – Parti Amanah Negara (Amanah) tidak mempunyai pendirian khusus berhubung cadangan pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan.

Pengerusi penajanya, Mohamad Sabu berkata Amanah hanya akan menetapkan pendirian mereka berhubung undang-undang Islam itu setelah mendapat konsensus komponen pembangkang.

Amanah yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin PAS dari kumpulan progresif dikatakan akan membentuk Pakatan Rakyat 2.0 bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Kami mengambil pendirian sebarang rang undang-undang apa sekalipun termasuk undang-undang syariah, hendaklah dibincangkan terlebih dahulu di atas konsep pegangan perjuangan kami iaitu memilih secara demokrasi, konsultasi dan mengambilkira Perlembagaan negara.

“Sekiranya isu ini timbul pada masa akan datang, persetujuan di antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat 2.0 jika ianya terbentuk nanti, hendaklah dibincang bersama terhadap sebarang pindaan Perlembagaan atau hal-hal yang terlalu penting, sama ada untuk bersetuju ataupun tidak,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Jelas Mohamad yang lebih terkenal dengan panggilan Mat Sabu, tidak timbul laporan yang mengatakan bahawa wakil rakyat Amanah akan mengundi bagi menolak rang undang-undang hudud jika ia dibentangkan di Parlimen.

“Saya jelaskan sekali lagi, sebarang persetujuan atau penentangan hendaklah dibincang bersama dalam komponen Pakatan Rakyat 2.0 untuk bersetuju atau tidak, di atas konsep persetujuan bersama yang menjadi pegangan kepada kami,” katanya. – mStar