Anak Felda Dari Kelantan Sedia Tawan Kutub Utara Bulan Depan

Peserta Ekspedisi Kelab Ekplorasi 7 Benua (KE7B) Shahrom Abdullah, 36, menjalani latihan terakhir hari ini bagi menyertai Misi Ekspedisi KE7B merentas Kutub Selatan pada 17 November depan. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR – Wakil tunggal negara dalam ekspedisi menjelajah Kutub Selatan ‘All The Way 2015’, Shahrom Abdullah sudah bersedia untuk memulakan ekspedisi sejauh 1,000 kilometer bermula 17 November depan.

Atlet sukan lasak negara, Shahrom, 36 tahun; berkata beliau kini cukup bersedia selepas selesai menjalani empat fasa latihan intensif sejak sembilan bulan lepas.

Ia merangkumi latihan di kaki Gunung Everest, Nepal; Norway; Alaska, Amerika Syarikat dan latihan terakhir dalam negara bagi menggalas cabaran ekspedisi anjuran Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B).

Beliau bercakap kepada pemberita selepas selesai menjalani latihan terakhir mendaki bersama bebanan seberat 40 kilogram sejauh lima kilometer dari Genting Sempah ke Bukit Tinggi, Pahang dekat sini.

Shahrom, yang berasal dari Felda Ciku di Gua Musang, Kelantan berkata beliau dijangka mengambil masa selama 60 hari untuk menjelajah dari titik permulaan Messner dan berakhir di titik kosong darjah di Kutub Selatan.

“Cabaran di sana agak getir dengan keadaan cuaca ekstrem… sasaran saya adalah untuk menjelajah purata sejauh 20 kilometer setiap hari,” katanya.

Sementara itu, penasihat KE7B, Datuk Akmar Hisham Mokhles berkata pemilihan Shahrom untuk menyertai ekspedisi berkenaan adalah berdasarkan tahap kecerdasan dan kebolehan fizikal serta mental Shahrom.

“Kita tegas dalam pemilihan peserta dan kita pastikan individu yang terpilih mempunyai kekuatan daripada segi fizikal dan mental untuk menghadapi cabaran,” katanya.

Beliau berkata ekspedisi ini merupakan ekspedisi pertama rakyat Malaysia merentasi benua Antartika tanpa menggunakan sebarang alat bantuan.

“Ekspedisi kali ini berbeza dengan mana-mana ekspedisi sebelum ini dan kita harap Shahrom akan menjadi rakyat Malaysia pertama berjaya merentas Kutub Selatan dengan berjalan kaki,” katanya. – BERNAMA