"Anak Kecil Main Api": Teater Bangsa Sempena Hari Malaysia Kali Ini


SEBUAH produksi teater yang semakin meningkat naik, Anomalist Production yang sebelum ini pernah mementaskan teater Skrip Untuk Ali, kini tampil mempersembahkan Teater Bangsa: Anak Kecil Main Api yang berteraskan semangat nasionalisme.

Bersempena dengan ulang tahun Hari Malaysia yang disambut setiap tahun pada 16 September, teater yang diarahkan oleh Pengarah Urusan Anomalist Production, Khairi Anwar, ini ternyata sesuatu yang berbeza dengan konsep teater yang pernah dipentaskan sebelum ini.

Menjadikan tragedi berdarah 13 Mei 1969 sebagai jalan cerita utama, teater ini bakal membawa penonton menyelusuri tiga zaman dan generasi berbeza menerusi kehidupan dua watak utamanya, Manan dan Rizal.

Teater yang berkonsepkan perjuangan orang Melayu tanpa melibatkan unsur politik ini juga akan menampilkan dua karakter berbeza daripada dua watak utama tersebut.

Mengagumi mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Khairi, 23, mula mencerna idea serta ilham untuk menghasilkan teater sebegini selepas mendapat inspirasi daripada ibunya yang juga seorang bekas wartawan politik.

“Tun M pernah berkata, beliau mampu mengubah banyak perkara dalam Malaysia, tetapi suatu perkara yang tidak mampu diubahnya adalah mentaliti orang Melayu.

“Saya percaya, melalui seni persembahan dan teater, mentaliliti orang Melayu mampu untuk dicorak dan tidak mustahil diubah kearah pemerkasaan bangsa yang lebih proaktif dan positif,” katanya.

Pengarah Teater Bangsa: Anak Kecil Main Api, Khairi Anwar,23.
Jadi, kepada penggemar seni pentas teater serta pencinta teater berkonsepkan nasionalisme, segera dapatkan tiket untuk menyaksikan pementasan Anak Kecil Main Api ini untuk ketahui kesudahan jalan ceritanya.

Ia bakal mengimbau nostalgia dan kenangan lama serta keunikan bangsa yang ada dalam negara harmoni Malaysia ini.

Butir-butir terperinci mengenai tarikh, tempat dan tiket untuk menyaksikan teater ini boleh rujuk di bahagian bawah ini :


Teater: Anak Kecil Main Api (Teater Bangsa)

Tempat: Blackbox, Damansara Performing Arts Centre (DPAC)

Tarikh: 18 September (8.30 malam),  19 September (3.30 petang dan 8.30 malam) dan 20 September 2015 (3.30 petang dan 8.30 malam)

Tiket: RM35 (umum) RM28 (pelajar)

Untuk pertanyaan lanjut dan tempahan tiket, boleh menghubungi Cik Nisa Othman di talian 017-9386764 atau Deja Adil di talian 014-2637010. -Kedahnews.com