Anjung Permai Cafe (APC) Di Medan Selera Sungai Petani Yang Menggamit Selera..

Anjung Permai Cafe (APC) beroperasi di Medan Selera Taman Ria
Bagi rakyat Kedah khususnya yang tinggal di sekitar Sungai Petani, nama Anjung Permai Cafe (APC) yang terletak di Medan Selera Taman Ria sememangnya amat terkenal dan menjadi tumpuan ramai yang gemarkan aktiviti "jalan-jalan cari makan".

Menyediakan pelbagai jenis juadah sama ada tempatan, ala-barat atau makanan ala-Thai, restoran yang begitu santai itu menjadi pilihan anak-anak Kedah yang gemarkan konsep menjamu selera dalam keadaan yang sangat santai dan selesa.

Menyajikan makanan tradisi orang Kedah yang terkenal dengan ulam-ulaman yang menjadi perkara wajib, digandingkan dengan sambal belacan dan air asam yang mampu mencetuskan peluh jantan mengalir di wajah para pengunjungnya.

Ikan bakar, gulai rebung, ayam rendang, masak lemak cili padi, pajeri nenas, ikan kering, kari kepala ikan atau apa saja makanan kampung juga terdapat di restoran berkenaan selain dari turut menyajikan kuih-muih dan pencuci mulut tradisi orang Kedah.

Menurut sumber kami yang tinggal berdekatan dengan APC, boleh dikatakan hampir setiap waktu restoran berkenaan tidak lekang dari pelanggan, seawal ia dibuka hinggalah ke awal pagi pada setiap hari.

Bagi para penggemar masakan ala-barat, jangan lupa untuk mencuba "Lamb Chop" atau sebarang jenis "Steak" yang terdapat di restoran itu, mengiurkan selera, mungkin agak "rare" dan sedap rasa sos yang tercipta... 

Selain itu, bagi mereka yang bersantai sambil menikmati juadah di APC, mereka juga mudah untuk menunaikan solat memandangkan lokasinya yang terletak berhampiran dengan masjid, kira-kira 50 meter sahaja jaraknya.

Untuk pengunjung yang kemaruk internet pula, jangan risau kerana restoran itu turut menyediakan Wi-Fi percuma dan anda boleh mengakses ke Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya hingga "lebam" jari.


Tentang harganya, para pengunjung tidak perlu bimbang kerana APC sememangnya mengenakan harga makanan dan minuman yang sangat berpatutan dan wajar.

Kadang kala, para pengunjung di situ juga turut dihiburkan dengan persembahan dari geng-geng buskers yang aktifi di sekitar kawasan selatan Kedah itu.

Mementingkan kebersihan dan kualiti makanan selain rasa yang memikat hati, tidak dinafikan bahawa APC mampu membuat para pengunjungnya berpuas hati dengan sajian dan layanan ceria dari restoran itu. 

Untuk maklumat lanjut, anda boleh dapatkan info dari Facebook rasmi restoran berkenaan di KLIK DI SINI. Apa lagi yang ditunggu? Jom serbu..! - Kedahnews.com