Anwar Gembira Tun M Sertai Bersih 4, Mahu Jatuhkan Najib

Gambar Hiasan: Hubungan Anwar dan Tun M bagaikan ayah dan anak sebelum insiden Anwar dipecat Tun M
KUALA LUMPUR – Pesalah kes liwat yang juga penentang kuat parti UMNO, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan penyertaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam perhimpunan haram Bersih 4 bagi menggulingkan kerajaan baru-baru ini.

Beliau dalam satu perutusan daripada penjara Sungai Buloh berkata, perhimpunan yang menyusahkan ramai pihak itu membuktikan rakyat Malaysia matang tentang hak mereka untuk bersuara dan berhimpun.

“Saya ucap tahniah kepada rakyat Malaysia yang sertai perhimpunan aman Bersih 4. Saya juga alu-alukan kehadiran Tun Mahathir dalam turut menyertai perhimpunan Bersih 4,” katanya.

Perutusan Ketua Umum PKR itu disampaikan oleh  Pengarah Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar dalam pada itu tetap menuduh peserta Bersih 4 yang majoritinya berketurunan Cina telah diugut dan dihalang oleh kerajaan semasa mahu menyertai perhimpunan itu.

“Namun rakyat cekal meneruskan perjuangan perubahan dan menetang rasuah dan penipuan,” katanya.

Perhimpunan Bersih 4 yang dianjurkan oleh PKR, DAP dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak kebebasan secara melampau termasuk lesbian dan gay pada 29 dan 30 Ogos lalu gagal meraih sokongan ramai rakyat Malaysia.

Peserta perhimpunan itu turut bertindak biadap dengan memijak-mijak gambar Najib dan Presiden PAS yang juga Timbalan Ketua Kesatuan Ulama (Islam) Sedunia dalam satu upacara semasa perhimpunan haram itu berlangsung.

Anwar kini sedang merengkok dalam Penjara Sungai Buloh selepas dihukum penjara lima tahun oleh mahkamah selepas didapati salah meliwat seorang lelaki lain. - Kedahnews.com