ALOR SETAR - Pejabat Perdana Menteri semalam menafikan sekeras-kerasnya kesahihan gambar yang memaparkan kononnya satu kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di laman Twitter berhubung penutupan sekolah akibat jerebu.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan di akaun Facebook, PMO Malaysia, menjelaskan bahawa kenyataan itu adalah palsu dan tidak ada apa-apa arahan berkaitan penutupan sekolah akibat jerebu yang dikeluarkan oleh Mohd Najib baru-baru ini menerusi laman Twitter beliau.
"Semua pihak perlu menghentikan penyebaran imej ini.
"Ini adalah perbuatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan siasatan asal usul pertama imej ini akan dilakukan serta merta oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
"Tindakan juga akan diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang Malaysia," tulis PMO.
Kenyataan palsu menerusi Twitter yang dicatatkan pada 12.03 pagi, 26 September itu memetik Perdana Menteri sebagai berkata "Saya memohon Kementerian Pendidikan menutup semua sekolah seluruh Malaysia pada hari Isnin dan Selasa berikutan jerebu".
Sebelum ini banyak kes yang melibatkan pihak tertentu yang bertindak sengaja mengubahsuai atau "edit" kenyataan beberapa pemimpin Kerajaan di laman-laman sosial sedangkan pemimpin-pemimpin berkenaan tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Antara yang sering menjadi mangsa tindakan fitnah itu adalah Timbalan Menteri MITI, Datuk Ahmad Maslan. -Kedahnews.com