Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man |
KUALA PERLIS - Kerajaan Perlis merancang untuk membangunkan sebuah tapak seluas tujuh hektar bersebelahan Hotel Brasmana di sini bagi menjadikan Kuala Perlis sebagai sebuah bandar maritim serba lengkap.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, kerajaan negeri menerima cadangan untuk membangunkan kawasan itu daripada pelabur swasta, bagaimanapun ia masih diteliti.
"Yang penting konsep pembangunan mesti sesuai, pihak swasta juga perlu mengkaji daya maju projek yang akan dilaksanakan kelak setelah kerajaan negeri bersetuju.
"Saya akan mengumumkan perincian pembangunan tapak ini setelah perjanjian dengan pelabur termeterai," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, pembangunan tapak tersebut akan menyokong kemajuan Kuala Perlis sebagai tempat tumpuan pelancong selain menjadi transit orang ramai yang menaiki feri untuk ke Pulau Langkawi.
Pembangunan itu akan mengandungi antaranya kompleks perniagaan, bangunan pangsapuri dan hotel selain menaik taraf serta menambah baik pusat-pusat, gerai makanan dan landskap Kuala Perlis.
Sementara itu, Azlan berkata, bangunan Plaza Kuala Perlis milik Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) yang diibaratkan seperti 'hidup segan, mati tidak mahu' itu akan diubahsuai dengan kos kira-kira RM500,000.
Beliau berkata, seorang usahawan tempatan akan menjadi penyewa utama plaza itu dengan menjadikan bahagian bawah sebagai pasar raya yang akan beroperasi pada Sabtu ini, manakala 20 lot di bahagian atas akan disewakan.
"Konsep ini saya yakin dapat menarik orang ramai mengunjungi plaza untuk berbelanja selain memberi kesan positif terhadap kemajuan Medan Selera bersebelahan plaza tersebut," katanya. - Bernama