Bagai Ditolak Ke Dinding, Melayu Tiada Perasaan Ke? - Mahdzir Khalid

Datuk Seri Mahdzir Khalid
KUALA NERANG – Himpunan Rakyat Bersatu di Kuala Lumpur Rabu lepas merupakan manifestasi perasaan orang Melayu ketika ini yang merasakan mereka telah “ditolak ke dinding”, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, insiden-insiden yang berlaku di dalam perhimpunan Bersih 4 yang didominasi oleh satu kaum telah menimbulkan perasaan dalam kalangan orang Melayu untuk turut sama mengadakan perhimpunan dan berarak.

“Orang Melayu tidak ada perasaan ke? Orang Melayu juga ada perasaan. Ramai pergi ke himpunan itu bukan akibat hasutan pemimpin tetapi (pergi) kerana timbul di dalam perasaan mereka sendiri bahawa orang Melayu kini telah ‘ditolak ke dinding’,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat veteran UMNO Bahagian Padang Terap yang turut dihadiri Exco kerajaan negeri Kedah Datuk Badrol Hisham Hashim di Pengkalan Tok Mas, di sini.

Mahdzir yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap berkata, orang Melayu juga mahu berhimpun dan berarak selepas melihat perhimpunan Bersih 4 pada 29 dan 30 Ogos lepas dihadiri majoritinya masyarakat Cina.

Tindakan peserta perhimpunan Bersih 4 itu seperti memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan membawa penyapu telah menyentuh perasaaan orang Melayu.

“Apakah motif dan niat mereka (Bersih 4). Mereka kata perarakan itu adalah untuk menolak Datuk Seri Najib, menolak Najib juga bermakna menolak Melayu,” katanya.

Mahdzir berkata pihak-pihak lain juga perlu menjiwai perasaan orang Melayu dan bukan hanya orang Melayu sahaja menjiwai perasaan bangsa-bangsa lain.

Orang Melayu katanya, mempunyai hak untuk berhimpun dan berarak juga sebagaimana dilakukan oleh peserta Bersih 4 dan tindakan itu tidak sepatutnya dilihat daripada sudut perkauman.

“Terdapat pihak-pihak melihat apa sahaja dilakukan oleh orang Melayu ketika ini bersifat perkauman, tanpa mengambil kira perasaan dan hak orang Melayu,” katanya. – BERNAMA