Banduan Penjara Sungai Buloh Dakwa Dinafikan Hak Berjumpa Peguam

Datuk Seri Anwar Ibrahim 
KUALA LUMPUR – Banduan Penjara Sungai Buloh, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dihukum penjara selepas didapati bersalah melakukan jenayah seksual mendakwa dia tidak dibenarkan berjumpa dengan peguamnya untuk urusan mahkamah.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa, peguamnya disekat daripada menjalankan tugas disebabkan halangan itu sedangkan dia yang kini merengkok dalam penjara masih terlibat dalam 16 kes sivil dan jenayah.

“Saya amat kesal dengan keputusan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr, Ahmad Zahid Hamidi yang menyekat perjumpaan peguam-peguam dengan saya bagi tujuan perjalanan kes-kes di Mahkamah.

“Ini adalah suatu pelanggaran hak saya mendapatkan nasihat guaman dan menghalang tugas dan tanggugjawab peguam-peguam saya,” rintihnya dalam satu kenyataan yang disampaikan melalui Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil hari ini.

Anwar mendakwa, antara peguamnya yang dihalang daripada menjalankan tugas adalah Datuk S.Ambiga yang terlibat dalam penganjuran perhimpunan besar-besaran bagi menjatuhkan kerajaan Bersih 4.0 pada 29 dan 30 Ogos lalu,

“Mereka tidak dibenarkan berjumpa dengan saya walaupun mereka perlu mengambil arahan mengenai kes-kes Mahkamah yang akan berlangsung pada 15 September dan 5 Oktober masing-masing.

“Sebelumnya, peguam dihalang berjumpa walaupun ada afidavit untuk diikrarkan pada kadar segera. Hormati undang-undang dan proses Mahkamah dengan membenarkan peguam jalankan tugas dengan sempurna dan tanpa gangguan,” kata Anwar lagi. -Kedahnews.com