Penduduk Kampung Pisang melihat air yang melimpah ke jalan menyebabkan laluan mereka ke hujung kampung itu terputus. |
KUALA NERANG - Penduduk di Kampung Pisang Mukim Padang Terap Kiri terputus hubungan semalam selepas berlaku banjir kilat di kawasan berkenaan, semalam.
Penduduk, Zahari Othman, 51, berkata, dia dan keluarganya terkejut apabila paras air naik mendadak dalam tempoh sejam hujan.
Katanya, hujan lebat bermula pada jam 3 petang dan sejam selepas itu air di sawah mulai melimpah ke jalan hingga menyebabkan kampung di situ terputus hubungan.
“Kami sangat terkejut dengan paras air naik mendadak dan deras hingga penduduk kampung tidak berani melalui titi di kampung itu kerana bimbang dibawa oleh arus. Ini menyebabkan beberapa penduduk yang tinggal di hujung kampung terpaksa meninggalkan kenderaan mereka sementara waktu kerana air melimpah ke daratan,” katanya.
Menurut Zahari, air hujan itu naik mendadak kerana pertembungan aliran air yang turun ke kawasan rendah dari kampung berhampiran.
Hujan yang lebat menyebabkan saliran sedia ada tidak mampu menampung aliran air hinggalah air hujan itu melimpah ke jalan raya.
“Banjir kilat itu menyebabkan saya kerugian dari hasil getah selepas dibawa oleh air banjir dan selepas air surut terpaksa kutip semula saki-baki getah itu. Mujur sebelum banjir kilat, penduduk terlebih dahulu mengambil hasil padi,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Zahari, kawasan itu sudah lama tidak berlaku banjir dan terakhir sekali ialah pada 2005 hingga beberapa penduduk terpaksa dipindahkan.
Bagaimanapun, penduduk berasa lega apabila banjir kilat itu mulai surut pada jam 10 malam dan yang tinggal di hujung kampung mulai pulang ke rumah masing-masing apabila laluan kembali pulih.
“Saya yakin punca banjir kilat ini adalah disebabkan saliran di kampung itu semakin sempit dan pihak berkenaan perlu meluaskan lagi supaya aliran dapat mengalir dengan mudah ke tali air utama berdekatan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Pisang, Bedah Salleh ketika dihubungi berkata, banjir kilat itu menyebabkan air masuk ke rumah seorang penduduk tetapi tidak berlaku sebarang kerosakan.
Katanya, tindakan penduduk di situ yang meminta jentera pengorek mendalamkan saliran mempercepatkan lagi aliran air hujan keluar ke saliran utama.
“Saya berharap pihak berkenaan dapat memantau saliran di sekitar kampung ini supaya masalah banjir kilat itu tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan. Sistem perparitan di kawasan itu sudah lama tidak diselenggarakan dan ini menyebabkan berlakunya banjir kilat,” katanya.
Sumber: Sinar Harian