Jiran mangsa ketika melawat Azri di hospital. |
ALOR SETAR - Kanak-kanak berusia tiga tahun dan bapanya yang dalam perjalanan ke rumah saudara mereka nyaris maut selepas terlibat kemalangan berhampiran Taman Bersatu, Jalan Simpang Empat, di sini, semalam.
Mujur kanak-kanak berkenaan, Azri Azhar, dari Taman Desa, Jalan Pegawai, di sini, hanya patah tulang bahu kanan selepas terbabit dalam kemalangan jam 9.30 pagi itu.
Bapa saudara mangsa, Adi Sharil, 34, berkata, iparnya, Azhar Ibrahim, 46, bersama anak lelakinya dalam perjalanan ke kediaman datuknya dipercayai untuk memasang khemah kenduri.
Bagaimanapun, mereka dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum melanggar sebuah kenderaan di hadapan mereka.
“Akibat kemalangan berkenaan, bahu anak sulung dari dua beradik ini, patah dan dia dilihat masih trauma dan ketakutan selepas terbabit dalam kemalangan tersebut.
“Manakala, bapanya yang juga seorang kakitangan kerajaan cedera di bahagian muka terutamanya mata dipercayai terkena serpihan kaca, selain patah tangan,” katanya.
Menurutnya, mereka dibawa untuk mendapatkan rawatan lanjut di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Nur Hafizah Mohammad Lukman berkata, pihak mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 10.23 pagi.
“Sewaktu tiba di sana, kita mendapati kemalangan berkenaan membabitkan dua kenderaan, bagaimanapun tiada mangsa tersepit dalam kereta,” katanya.
Bagaimanapun, Hafizah berkata, seorang lelaki dipercayai mangsa sudah dibawa ke hospital berkenaan dengan menaiki ambulans sebelum ketibaan pihak mereka.
Manakala, katanya, operasi menyelamat mangsa tamat pada jam 11.09 pagi, apabila mangsa kanak-kanak dibawa menaiki Emergency Medical Rescue Services (EMRS) ke hospital.